PUTRAJAYA: Tidak jatuh talak jika hanya berniat sahaja.
Itu penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) yang menyatakan, talak tidak jatuh dengan hanya berniat tanpa menyebutkan lafaz cerai secara jelas (sarih) mahupun kiasan (kinayah) yang merupakan salah satu rukun talak.
Menurutnya, maksud talak ialah membubarkan akad nikah dengan lafaz ‘talak atau cerai’ dan seumpamanya.
“Talak akan berlaku jika memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya. Setiap rukun terdapat syarat-syaratnya. Rukun talak ialah suami, isteri, sighah (lafaz), niat dan wilayah (kekuasaan).
“Sekiranya seorang suami hanya berniat talak, maka ia tidak sempurna melainkan memerlukan kepada rukun lafaz talak sama ada lafaz yang jelas atau kiasan dan rukun talak lain yang memenuhi syarat-syarat nya,” katanya.
Katanya, Al-Khatib al-Syirbini dalam Mugni al-Mughtaj menyatakan talak tidak jatuh dengan niat tanpa melafazkannya, begitu juga tidak mengerakkan lidahnya dengan lafaz ‘cerai’.
Jelas PMWP lagi, lafaz talak tidak berlaku sekiranya dengan suara yang perlahan sehingga tidak didengar oleh dirinya (suami) dengan pendengaran biasa yang tiada gangguan (bunyi bising atau tidak sihat).
“Hal ini kerana lafaz tersebut tidak dianggap sebagai lafaz dengan kata-kata.
“Oleh itu, situasi suami ‘berniat’ ingin mentalakkan isteri yang tidak dilafazkan sama ada secara jelas mahupun kiasan adalah tidak tertalak,” katanya. –UTUSAN ONLINE