GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berpendirian tiada keperluan nama Georgetown dan Butterworth yang dinamakan oleh penjajah pada zaman dahulu ditukar kembali kepada nama asalnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, ini kerana nama Georgetown telah digunakan lebih 200 tahun dan sudah dikenali rakyat negara ini selain masyarakat antarabangsa.
“Saya tidak nampak apa-apa justifikasi untuk kita menukar nama Georgetown kerana nama Georgetown telah terkenal sejak lama di seluruh dunia, ia telah digunakan sejak 200 tahun lalu.
“Tiada keperluan untuk penukaran nama kerana ia adalah saranan segelintir pihak sahaja,” katanya selepas sidang akhbar mengenai pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara antara Singapura dan Pulau Pinang di sini hari ini.
Sebelum ini, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Ketamadunan dan Pemikiran Islam Antarabangsa (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican mencadangkan tempat-tempat yang dinamakan oleh penjajah perlu diubah kerana sebenarnya memadam sejarah awal tempat tersebut.
Sebelum zaman penjajahan British, Georgetown terkenal dengan nama Tanjong Penaga manakala Butterworth dipanggil sebagai Bagan.
Menurut Soon Hin, sejarah asal sesuatu tempat akan tetap dikenali dan diingati, namun, ia tidak bermakna nama tempat itu perlu ditukar sewenang-wenangnya.
“Permintaan ini datang daripada segelintir individu sahaja, takkan disebabkan segelintir sahaja kita mahu susahkan majoriti rakyat.
“Nama Georgetown sudah diterima ramai dan jika ingin tukar ia akan libatkan penukaran banyak nama,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Soon Hin berkata, Pulau Pinang bersedia untuk menerima kemasukan pelawat dari Singapura menerusi program VTL udara antara Singapura dan Pulau Pinang esok.
“VTL Pulau Pinang dan Singapura akan melibatkan penerbangan harian syarikat penerbangan antaranya Malaysia Airlines, Air Asia, Singapore Airlines dan Scoot Tigerair.
“Buat masa ini, kita masih belum dapat menjangka jumlah kemasukan pelancong dari Singapura yang akan memasuki Pulau Pinang menerusi program VTL ini dan akan memantau rapi perkembangan terkini program ini,”katanya. –UTUSAN ONLINE