NSRC kini diterajui PDRM, setiap aduan 'scam' dikira laporan polis

NSRC kini diterajui PDRM, setiap aduan ‘scam’ dikira laporan polis

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan atau National Scam Response Centre (NSRC) kini diterajui sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkuat kuasa serta-merta.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu telah pun dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dua minggu lalu.

Beliau berkata, talian kecemasan 997 khusus untuk aduan scam itu kini diaktifkan 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

“Menerusi penstrukturan semula NSRC itu, setiap panggilan dan aduan itu akan dijadikan laporan polis,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Katanya, sebelum ini, ada beberapa agensi bertanggungjawab terhadap NSRC iaitu Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan PDRM.

Saifuddin berkata, pihaknya akui trend scam ketika ini semakin meningkat dan acamannya semakin besar.

“Secara purata, NSRC menerima 500 aduan berkaita scam setiap hari dan setakat ini kerugian dilaporkan mencecah RM1.5 bilion berdasarkan data dikongsi Majlis Sosial Negara,” katanya.

Katanya, sebagai persediaan, NSRC akan dibantu dengan 139 perjawatan selain akan mempunyai pejabat dan pusat operasi sendiri namun pada masa ini masih berpusat di BNM.

Saifuddin berkata, PDRM harus tampil kedepan mengambil tanggungjawab bagi mengekang isu scam yang semakin meningkat di negara ini dengan melaksanakan program-program kesedaran yang tetap diteruskan dari semasa ke semasa.

NSRC telah ditubuhkan secara rasmi pada 12 Oktober 2022 oleh Kementerian Kewangan sebagai usaha menangani peningkatan kes penipuan kewangan dan jenayah siber di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN