Tanah runtuh: Tambah senarai cerun berisiko - Utusan Malaysia

Tanah runtuh: Tambah senarai cerun berisiko

PARA penduduk Taman Mega Jaya membersihkan persekitaran rumah mereka yang terkesan akibat banjir lumpur.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor digesa menambah senarai kawasan cerun yang berisiko tinggi berlaku tanah runtuh di negeri ini.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, ia berikutan lokasi tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, baru-baru ini tidak tersenarai antara 150 cerun itu terutama di Ampang, Gombak dan Hulu Langat. 

Katanya, bencana yang meragut empat nyawa di Ampang baru-baru ini menunjukkan kawasan yang tiada dalam senarai berisiko tinggi mengalami tanah runtuh.

“Selain kerja penyelenggaraan, kerajaan negeri perlu melakukan kajian ke atas semua cerun bagi mengklasifikasikannya semula.

“Semua cerun berisiko tinggi perlu dipantau berterusan untuk memastikan tiada sebarang pergerakan tanah yang mengakibatkan runtuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis minggu lalu, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 itu meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan.

Kejadian kira-kira pukul 5.52 petang itu menyaksikan sebannyak 15 rumah dan 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kelima-lima mangsa ditamatkan kira-kira pukul 2 pagi keesokannya selepas mengesahkan penemuan mayat semua mangsa.

Mengulas lanjut, kata Iskandar, pihaknya menggesa kerajaan negeri melakukan pemeriksaan terperinci ke atas semua kawasan berisiko tinggi berlaku tanah runtuh.

“Tindakan itu perlu bagi memastikan kejadian sama tidak berulang di lokasi lain.

“Pada 27 Januari lalu, REACH turut menggesa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat pemeriksaan itu berikutan insiden tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan,” ujarnya. 

Tambah beliau, PBT dan pihak berkaitan perlu lebih berwaspada dalam meluluskan pembangunan yang melibatkan cerun.       

“Sebarang syarat bagi pembangunan yang diluluskan perlu dikuatkuasakan dengan tegas dan tanpa pilih kasih,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya