Kerajaan pimpinan Ismail Sabri tidak rapuh

SOSMA: Kerajaan pimpinan Ismail Sabri tidak rapuh

HALIMAH Mohamed Sadique (kanan) dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Geran KRT Komuniti Sejahtera, Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Kedah dan Perlis di Alor Setar hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR:  Kegagalan kerajaan mendapatkan sokongan Dewan Rakyat bagi meluluskan usul Kementerian Dalam Negeri untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), tidak bermakna kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini berada dalam keadaan rapuh. 

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, dakwaan tersebut tidak sepatutnya timbul memandangkan kerajaan berjaya memperolehi sokongan dua pertiga bagi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022, bagi mengecualikan pendaftaran pemilih automatik kepada kerabat diraja hanya sehari selepas itu.

Menurutnya, kegagalan mendapatkan sokongan bagi usul berkaitan SOSMA tersebut sebaliknya lebih menjurus kepada tanggungjawab dipikul setiap Ahli Parlimen dengan setiap seorang daripada mereka, perlu sentiasa mengambil berat mengenai tanggungjawab tersebut.

“Kalau semua Ahli Parlimen laksanakan tanggungjawab serta ambil berat tentang pentingnya untuk kita luluskan satu-satu rang undang-undang, sudah tentu perkara seperti itu tidak berlaku.

SABOTAJ

“Saya tak fikir ada unsur sabotaj kerana perkara ini memang dah jadi tanggungjawab seorang Ahli Parlimen. Kalau dah jadi Ahli Parlimen tetapi anggap diri kita tak penting bila diperlukan untuk buat keputusan bagi pihak kerajaan, saya ingat mereka kena fikir semula tentang perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Penyampaian Geran KRT Komuniti Sejahtera, Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Kedah dan Perlis 2022 di Dewan Serbaguna Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Dewan Rakyat pada Rabu lalu menolak usul Kementerian Dalam Negeri untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama lima tahun lagi dan mengekalkan tempoh tahanan selama 28 hari.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan undian itu berkata, seramai 86 ahli Parlimen ahli Parlimen pembangkang tidak bersetuju melanjutkan usul tersebut, 84 ahli Parlimen Kerajaan bersetuju manakala 50 ahli Parlimen tidak hadir.

Begitu pun sehari kemudian, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 bagi mengecualikan pendaftaran pemilih automatik kepada kerabat diraja, selepas RUU itu mendapat sokongan melebihi dua pertiga atau sekurang-kurangnya 148 daripada 222 Ahli Parlimen dalam undian dijalankan.

Sementara itu Halimah turut menolak dakwaan menyatakan terdapat sesetengah Ahli Parlimen kerajaan yang keluar sewaktu undian dijalankan meskipun sudah berada di Dewan Rakyat sebelum itu.

Menurutnya, jika ada Ahli Parlimen yang keluar dari Dewan Rakyat sekali pun, mereka mungkin perlu menghadiri menghadiri mesyuarat, majlis atau apa-apa yang lain menyebabkan mereka lewat masuk serta tidak dapat menyertai undian. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN