KOTA KINABALU: “Badan mayat kedua-dua rakan saya dikerat-kerat kepada beberapa bahagian, memang kejam perbuatan lanun.”
Tragedi serangan hendap lanun di Sungai Merah, Lahad Datu pada Disember 1962 tidak dapat dilupakan bekas anggota North Borneo Police Force, Mohd. Daud Kalakhan, 76, apabila diarah memerangi penjenayah terbabit dalam tugasan pertamanya.
“Pada masa itu, saya bertugas di Balai Polis Lahad Datu manakala, empat rakan lain dihantar ke Sungai Merah untuk memerangi lanun. Mereka masuk ke kawasan itu pada pukul 9 pagi dan kira-kira pukul 3 petang mereka diserang hendap oleh lanun.
“Serangan itu menyebabkan dua rakan dalam platun kami terkorban dan dua lagi terjun ke sungai dan bersembunyi di bakau.
“Selepas lanun meninggalkan kawasan itu, orang kampung memaklumkan kepada balai dan pasukan marin datang untuk mengambil dua mayat serta dua anggota yang terselamat.
“Badan mayat kedua-dua rakan saya dikerat-kerat kepada beberapa bahagian, memang kejam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Selain ancaman lanun, menurut Mohd. Daud, dia turut bertarung nyawa semasa berlaku pertempuran dengan anggota Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) Indonesia pada tahun 1963 iaitu pada awal konfrontasi.
Mohd. Daud berkata, selepas dua hari bersembunyi di hutan di Pulau Sebatik, Tawau, berlaku pertempuran dengan tentera Indonesia.
“Masa itu, kejadian tembak-menembak berlaku namun, anggota pasukannya terselamat dan dua anggota tentera Indonesia maut dalam pertempuran tersebut.
“Selepas pertempuran reda, saya bersama rakan sepasukan lain bersembunyi di sebuah rumah kosong dan ketika itu tentera Indonesia juga sudah melarikan diri.
“Kemudian, tentera British mula mengambil alih tempat kami dan pasukan saya dihantar ke Balai Polis Lahad Datu sebelum dikerah masuk ke Kalabakan,” katanya.
Mohd. Daud menamatkan perkhidmatan sebagai polis dengan memegang jawatan Ketua Polis Daerah Papar pada tahun 1997.
Kini, beliau aktif dalam Persatuan Kebajikan Bekas Skuad 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu memperjuangkan nasib bekas-bekas anggota polis di Sabah. – UTUSAN











