Sebak terima ijazah mendiang anak - Utusan Malaysia

Sebak terima ijazah mendiang anak

CHAN Geok Bee (dua dari kanan) dan Soh Miow Chyi (dua dari kiri) menunjukkan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) yang diterima Soh Javid pada Konvokesyen Ke-17 UTeM di Kampus Durian Tunggal, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Sepasang suami isteri tidak mampu menahan sebak ketika menerima segulung ijazah mewakili mendiang anak mereka pada majlis Konvokesyen Ke-17 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, hari ini. 

Soh Teng Lin, 57, dan isterinya, Chan Geok Bee, 54, ketika ditemui pemberita mengakui, pada awalnya mereka berasa berat hati untuk hadir, namun, menguatkan semangat selepas mengenang kesungguhan anaknya belajar. 

Mendiang, Soh Javid, 26, telah menyelesaikan 100 kredit pembelajaran  dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) sepanjang pengajian sehingga semester pertama sesi 2020/2021 dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) terakhir 3.72. 

Geok Bee memberitahu, anak ketiga daripada empat beradik itu disahkan meninggal dunia secara mengejut pada 3 Jun 2021, dipercayai berpunca daripada kejadian terjatuh dalam tandas. 

“Sewaktu kejadian, anak kedua saya memang mendengar dentuman kuat Javid terjatuh dalam tandas, abangnya itu mahu membawanya ke klinik, namun, katanya, dia tidak cedera dan hanya mahu baring. 

“Ketika ingin mengajaknya makan tengah hari, tiba-tiba Javid tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia disebabkan masalah jantung,” katanya penuh sebak.

Tambahnya, dia juga terkilan kerana tidak dapat melihat anaknya memegang skrol hasil titik peluh sendiri.

“Orang lain nampak anak atas pentas, kami cuma wakilkan anak yang telah tiada. Ini adalah suasana yang sukar buat kami sekeluarga dan selepas ini, kami akan terus menziarahi pusaranya untuk menunjukkan sijil ini kepadanya,” ujarnya. 

Teng Lin pula berkata, dia masih sukar menerima pemergian Javid kerana mendiang merupakan anak yang baik dan sentiasa ringan tulang membantunya di kebun. 

“Javid berada di rumah hampir setahun selepas negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sepanjang itulah, dia membantu saya berkebun dan menjual buah-buahan. 

“Saya sangat sedih kerana dia anak yang baik, bukan sahaja kepada keluarga, malah turut disenangi masyarakat di kawasan perumahan kami di Bukit Kepong, Johor,” katanya. 

Sementara itu, kakak sulung mendiang, Soh Miow Chyi, 29, memberitahu, Javid merupakan pelajar cemerlang sejak sekolah rendah dan bercita-cita menjadi jurutera dalam bidang teknologi maklumat. 

Terdahulu, istiadat yang berlangsung selama tiga hari itu menyaksikan seramai 3,275 orang graduan menerima ijazah dan diploma. 

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof Ir. Dr. Ghazali Omar; Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif dan Ketua Pegawai Operasi (COO), Masdzarif Mahat. 

Pada konvokesyen kali ini, UTeM turut memperkenalkan Anugerah Khas Huffaz Profesional yang pertama kalinya diadakan dengan penerimanya adalah seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Dengan Kepujian. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN