'Saya pernah terajui KDN'

‘Saya pernah terajui KDN’

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa ketidakhadirannya semasa sesi undian Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Parlimen kerana tidak mahu meluluskan undang-undang berkenaan.

Kepada Ming­guan Malaysia, Presiden UMNO itu berkata, beliau tidak hadir ke Dewan kerana mempunyai urusan yang perlu diselesaikan sebelum undi belah bahagian diputuskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Katanya, sekalipun tidak hadir mengundi usul tersebut, tidak bermakna beliau menolak usul kerajaan kerana beliau sendiri merupakan menteri yang bertanggungjawab terhadap SOSMA semasa me­nerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Dakwaan mengatakan saya tidak bersetuju meluluskan SOSMA tidak benar sama sekali. Saya sudah menjelaskan me­ngapa saya tidak hadir semasa sesi mengundi kerana saya ada hal lain, malah saya sudah keluar dewan lebih awal. Bukannya pada saat akhir sebelum undi belah bahagian bermula.

“Saya memang bersetuju untuk meluluskan undang-undang ini, kerana saya yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaannya semasa menerajui Kementerian Dalam Negeri dahulu,” katanya ketika dihubungi semalam.

SOSMA merupakan akta yang digubal sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggantikan Akta Ke­selamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Ahmad Zahid dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dan SOSMA terus berjalan di bawah pentadbirannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya