Rentas negara 1 April, ejen nikah Siam kembali sibuk - Utusan Malaysia

Rentas negara 1 April, ejen nikah Siam kembali sibuk

PASANGAN yang mahu nikah Siam tidak sabar untuk merentas Thailand 1 April ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Keputusan kerajaan membenarkan pembukaan sempadan negara 1 April depan membawa ‘khabar gembira’ kepada pasangan yang mahu berkahwin di Thailand selepas sekian lama hasrat mereka tertangguh.

Sebelum ini, ejen-ejen nikah Siam mendedahkan lebih 300 pasangan dalam senarai menunggu melangsungkan perkahwinan di Thailand sebaik sahaja pintu sempadan negara dibuka dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang ejen yang enggan namanya didedahkan berkata, terdapat pasangan yang terus menghubungi pihaknya selepas mendengar pengumuman pintu sempadan negara akan dibuka bulan depan.

Katanya, sebelum ini, dia sudah menerima lebih 20 tempahan namun hasrat mereka itu perlu ditangguh terlebih dahulu sehinggalah sempadan negara kembali dibuka.

Ujarnya, perkembangan tersebut cukup menggembirakan selepas lebih dua tahun hilang sumber pendapatan yang selama ini mampu menjana puluhan ribu ringgit membabitkan lima hingga 10 pasangan.

“Sebelum ini, ada saja panggilan yang diterima bertanyakan soal perkahwinan di Thailand dan kebelakangan ini semakin banyak panggilan selepas mendapat khabar pintu sempadan negara akan kembali dibuka.

“Saya jangka ejen-ejen nikah Siam ini akan sibuk dalam tempoh beberapa bulan selepas pintu sempadan dibuka memandangkan ramai pasangan sudah tidak sabar dan lama menunggu melangsungkan perkahwinan di negara jiran itu,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Malaysia akan membenarkan rakyat dan pelancong asing memasuki negara ini bermula 1 April selepas mengenakan larangan kemasukan sejak Mac 2020 bagi menangani pandemik Covid-19.

Sementara itu, ejen berkenaan berkata, rakan-rakan ejen lain turut memaklumkan menerima tempahan sama dan dia tidak menolak kemungkinan ratusan tempahan sudah diterima membabitkan ejen-ejen nikah Siam ini.

Katanya, kebanyakan pasangan yang bernikah di Thailand adalah atas faktor poligami dan menyembunyikan perkahwinan tersebut daripada pengetahuan isteri pertama.

Malah katanya, golongan orang kenamaan (VIP) juga merupakan antara yang dalam senarai menunggu untuk bernikah di Thailand.

“Kebanyakan pasangan ini sudah lama merancang melangsungkan perkahwinan di Thailand dan hanya menunggu pintu sempadan negara dibuka.

“Jika terlalu banyak tempahan yang diterima dalam tempoh terdekat ini, saya terpaksa menghadkan sedikit agar urusan perkahwinan pasangan di Thailand itu tidak terlalu padat,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun menjadi orang tengah perkahwinan di Thailand.

Katanya lagi, sebelum pintu sempadan negara ditutup ekoran Covid-19 sebelum ini, lazimnya dia menerima 10 hingga 15 pasangan setahun.

Namun katanya, dalam tempoh terdekat ini, dia menjangka jumlah tersebut boleh meningkat sehingga dua kali ganda. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN