IPOH: Kerajaan negeri Pulau Pinang mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Perak mengenai hasrat membeli air mentah dari negeri berkenaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mesyuarat diadakan di pejabatnya di sini petang ini.
Saarani bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai mesyuarat yang dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
“Hari ini, petang ini mesyuarat. Ya lah kita tidak tahu lagi, dia (Chow Kon Yeow) nak jumpa untuk perbincangan mengenai perkara apa, bila dah jumpa akan dimaklumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Logo Jelajah Denai Sungai Perak Sejahtera di sini hari ini.
Sebelum ini, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan bersama kerajaan Perak berhubung hasrat negeri itu membeli air mentah dari Perak menerusi projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).
Menurutnya, kerajaan negeri telah membuat kajian sejak 2019 dan mendapati Pulau Pinang memerlukan sumber air alternatif menjelang 2025-2030.
Katanya, kajian itu mengenal pasti Sungai Perak sebagai salah satu alternatif, malah, kerajaan Pusat juga sedar tentang perkara itu.
“Cadangan untuk memulakan perbincangan tentang SPRWTS ini dibuat sejak 2019 lagi. Dengan adanya Menteri Besar yang baharu, maka, usaha untuk menyambung perbincangan diteruskan,” kata Kon Yeow.
Pada Disember lalu, Saarani berkata, Perak memberi keutamaan kepada keperluan penggunaan air domestik sebelum membuat sebarang keputusan untuk menjual air mentah kepada negeri lain termasuk Pulau Pinang.
Sebelum itu, Pulau Pinang menghantar surat permohonan rasmi pada 19 Oktober 2020 kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk membeli air mentah dari Perak dengan harga yang berpatutan. –UTUSAN ONLINE