GEORGETOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) akan memohon semakan tarif air tahun ini untuk meningkatkan dana bagi pelaksanaan projek Pelan Kontingensi Air Mentah 2030 (RWCP 2030).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, permohonan PBAPP akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan.
“PBAPP tidak mencari keuntungan yang lebih tinggi. Dana tambahan yang diperoleh akan dilaburkan semula terutamanya ke dalam projek RWCP 2030 PBAPP,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, PBAPP tidak menyatakan berapa kadar semakan tarif air yang akan dipohon tahun ini manakala semakan tarif air terakhir di Pulau Pinang dilaksanakan pada 2015 dan PBAPP turut memohon semakan tarif air pada 2019.
Menurut Jaseni, purata tarif air domestik Pulau Pinang untuk 35,000 liter pertama penggunaan domestik ialah RM0.32 sen setiap 1,000 liter dan adalah yang terendah dalam negara.
“Semakan tarif air terakhir di Pulau Pinang dilaksanakan pada 2015 dan PBAPP telah memohon semakan tarif air pada 2019.
“Bagaimanapun, Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) mengeluarkan kenyataan pada 2020 dan 2021 yang mana Kerajaan Persekutuan telah menangguhkan semua kajian semula tarif air berikutan kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.
Tambahnya, rasional utama untuk cadangan semakan tarif air itu adalah kerana Pulau Pinang tidak dapat menampung peningkatan permintaan air tanpa projek RWCP 2030.
Jelas beliau, projek RWCP 2030 terbabit bertujuan memastikan kecukupan air di Pulau Pinang ketika negeri itu meneruskan perjalanannya ke arah pemulihan sosio ekonomi pasca pandemik.
“Tarif air sedia ada yang tidak mapan mengakibatkan RM97.3 juta dalam subsidi domestik pada 2021.
“Penggunaan air Pulau Pinang telah diunjurkan mencecah 1,532 juta liter sehari (JLH ) menjelang 2030 dan 2,178 JLH menjelang 2050 berdasarkan kajian kejuruteraan bekalan air bebas yang disiapkan tahun lalu,” katanya. -UTUSAN ONLINE










