PETUA untuk menang mesti ada, baru `kena’. Tetapi jika tiada ilmu, tiada langkah, tak kena juga.
Perang kempen pilihan raya negeri Johor minggu terakhir dari 7 Mac ke 11 Mac nanti kena ada `ilmu dan strategi’nya. Kena ada taktik, falsafah terbaik. Ilmu perang terakhir ini harus tepat pelurunya. Tentu sekali mesti didukung petuanya iaitu pengalaman.
Juru kempen semua parti bertanding tiada lagi `ihsan’.
Perjumpaan dengan pengundi pastinya berteraskan prinsip logos, etos dan pathos – teori diuar-uarkan ahli falsafah Yunani, Aristotle ini.
Logos bermaksud seseorang juru kempen atau penceramah akan tampil dengan segala dalil, fakta dan hujahnya untuk ‘membuktikan’ atau kalau ikut gaya pesaing yang tegar, `menghalalkan’ sesuatu dakwaan. Ini sehinggakan khalayak ‘tercengang, terdengar dan terasa logik’ di benak fikiran mereka.
Etos pula berkaitan kewibawaan dan kredibiliti juru kempen, berserta ilmu dan pengetahuannya dalam isu terbabit.
Pathos (emosi) pula adalah bagaimana si juru kempen menggunakan segala omongan mereka dengan melontarkan contoh untuk meyakinkan khalayak, yang kemudian akan mencari lebih terperinci hal-hal semacam ini.
Walaupun secara umum sebilangan orang suka dengar tohmahan, fitnah atau `spin’ (putar belit), namun dibimbangi tidak ketahuan sejauh mana mereka yang mendengar dan memerhati, menerima sesuatu hujah yang disampaikan – auta atau fakta?
Apa pun kalau sudah jadi `kaki spin’ atau kaki putar belit, tidak kira masa dan tempat, sudah terang lagi bersuluhpun, dia akan buat.
Dan malangnya dek permainan kaki putar belit inilah, sama ada aksi, perbuatan dan perkataan yang dilontarkannya baik yang berunsur fitnah dan dakwaan ini terus `melekat’ bagaikan gam fikiran dan minda sebilangan orang. Damage has been done.
Bagaimana reading atau bacaan minggu ini di Johor? Masih awal lagi?
Yang penting semua parti tidak boleh selesa. Kejutan barangkali berlaku jika jentera kempen sambil lewa ketika pesaing bekerja berlipat kali ganda. – UTUSAN










