Pengembara perlu beri deklarasi perjalanan, vaksinasi - Utusan Malaysia

Pengembara perlu beri deklarasi perjalanan, vaksinasi

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengembara yang memasuki negara ini dikehendaki melengkapkan deklarasi perjalanan termasuk maklumat vaksinasi yang boleh diakses melalui ikon Traveller dalam aplikasi MySejahtera dan melaporkan serta memuat naik keputusan ujian RT-PCR yang telah dilakukan dua hari sebelum berlepas.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu merupakan antara protokol untuk pengembara sempena pembukaan semula sempadan ke seluruh negara ketika Malaysia akan memasuki fasa peralihan ke endemik berkuatkuasa 1 April ini.

Menurutnya, bagi pengembara yang pernah dijangkiti dalam tempoh enam hingga 60 hari pula, mereka perlu melaporkan dan memuat naik keputusan RTK Antigen Profesional yang telah dilakukan dua hari sebelum berlepas.

“Bagi pengembara bukan warganegara, mereka perlu mempunyai perlindungan insurans (Covid-19 dan pengembaraan), menyatakan alamat tempat penginapan di Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Parlimen semalam.

Mengulas lanjut, kata Khairy, semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa, pengembara akan melalui saringan demam dengan imbasan thermal scanner atau rujukan kendiri kepada petugas kesihatan jika bergejala untuk pemeriksaan lanjut di kaunter kesihatan di pintu masuk itu, manakala pengembara tidak bergejala akan meneruskan perjalanan ke kaunter imigresen untuk semakan lanjut.

Dalam pada itu, menurutnya, selepas memasuki negara dalam tempoh 24 jam, pengembara dikehendaki menjalani ujian RTK-Ag Profesional sama ada di fasiliti kesihatan swasta di pintu masuk antarabangsa atau di luar pintu masuk berkenaan dalam tempoh 24 jam.

“Keputusan ujian ini akan diperoleh dalam aplikasi MySejahtera. Jika keputusannya positif, pengembara dengan vaksin lengkap akan diberikan perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) selama tujuh hari di tempat penginapan bagi kategori 1 dan 2.

“Namun, bagi kategori 3 dan ke atas, mereka perlu mendapatkan rawatan di hospital swasta atau pusat-pusat kuarantin manakala pengembara tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi, mereka akan diberikan HSO selama 10 hari.

“Sementara itu, jika keputusan ujian ada negatif, pengembara dengan vaksin lengkap tidak perlu menjalani kuarantin, bagi pengembara tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi, mereka akan diberikan HSO selama lima hari di tempat penginapan serta dikehendaki menjalani RT-PCR pada hari keempat atau RTK-Ah Profesional pada hari kelima.

“Jika ujian sampel kedua Covid-19 didapati positif, mereka akan diberikan perintah HSO selama lima hari dari tarikh sampel kedua diambil, sementara jika keputusan Covid-19 negatif, mereka dilepaskan daripada HSO,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN