‘Pas Johor takkan senasib Melaka’

‘Pas Johor takkan senasib Melaka’

ABDULLAH HUSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pas Johor tidak akan mengalami nasib seperti rakan mereka yang tewas semua kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, November tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, Melaka belum menjadi ukuran kepada Pas kerana ia pilihan raya kali pertama parti itu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan.

Katanya, berbeza di Johor kerjasama ketiga-tiga parti lebih bersepadu dengan beroperasi di bawah jawatankuasa yang sama.

“Kami Pas di Johor tidak akan terima nasib sama seperti di Melaka.

“Malah calon yang Pas Johor tampilkan kali ini juga daripada pelbagai latar belakang dan profesion. Ada ahli akademik dan pengalaman-pengalaman mereka menjelmakan kepelbagaian yang kita miliki. Inilah untuk ditawarkan kepada pengundi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Abdullah yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang, PRN kali ini juga menjadi kayu ukur kepada PN menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, faktor kehadiran pengundi pertama kali terma­suk mereka yang tergolong sebagai pengundi berusia muda juga menguatkan keyakinan Pas untuk menang di 15 kerusi yang ditandingi.

Selain Pulai Sebatang, 14 lagi kerusi ditandingi Pas adalah Machap, Paloh, Serom, Simpang Jeram, Bukit Pasir, Parit Yaani, Jementah, Kemelah, Maharani, Tenggaroh, Tanjung Surat, Tiram, Sri Medan dan Senggarang.

Pada PRU-14, Abdullah sen­diri kecundang di kedua-dua kerusi ditandingi di Parlimen Tebrau dan DUN Puteri Wangsa.

Ketika itu Pas cuma menang kerusi Bukit Pasir daripada 41 kerusi DUN yang ditandingi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×