KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) jangan angkuh untuk memaksa rakyat mengambil dos penggalak dengan membuatkan status vaksinasi mereka bertukar kepada ‘Tidak Lengkap’.
Tiong King Sing (Bintulu-GPS) berkata, rakyat semakin hilang keyakinan kepada dos penggalak selepas semakin ramai mengesahkan mereka mengalami komplikasi, namun tidak dipandang serius oleh pihak KKM.
“Kenapa kita tidak boleh berdiri dengan rakyat dalam hal ini. Menteri-menteri KKM jangan degil, tapi, fikir lah untuk rakyat. Ada juga kawan-kawan saya selepas ambil dos penggalak, tangan mereka menjadi lemah dan bila pergi periksa, hanya diberitahu bahawa itu komplikasi tapi tiada apa yang dilakukan oleh KKM.
“Jika pengarah kesihatan kita bukan pakar untuk kesihatan awam maka kita perlu carilah pakar. Dalam negara ini, kita ada ramai pakar kesihatan awam. Jangan hanya fikir satu orang sahaja yang boleh memberikan cadangan yang terbaik. Kalau betul terbaik, tidak berlakulah kes yang turun naik seperti saham. Mengapa kita buat tidak tahu pula?
“KKM perlu kaji mengapa ramai tidak mahu ambil dos penggalak daripada membuat ugutan kepada rakyat. Perkara ini perlu teliti semula. KKM sepatutnya mampu meyakinkan rakyat untuk mengambil vaksin,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat.
King Sing turut menyebut mengenai pampasan komplikasi vaksin Covid-19 yang berlaku pada ramai individu.
“Rakyat tanya pada saya, kerajaan lain bagi rakyat tuntut wang pampasan sehingga setengah juta tapi kalau dalam Malaysia dan berlaku komplikasi, kemungkinan hanya dua orang yang boleh tuntut pampasan itu,” katanya. –UTUSAN ONLINE










