KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan akui aset pertahanan negara tidak mencukupi untuk menampung bencana berskala besar, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), berkata, beliau berkata, pihaknya akan tetap siap siaga bag menjaga keselamatan negara dan memberi bantuan sewaktu negara dilanda bencana.
“Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan dengan persetujuan Kementerian Kewangan bersedia untuk terus melaksanakan bancian perolehan pada setiap tahun bagi meningkatkan kesiagaan Anggota Tentera Malaysia (ATM) sama ada bagi melaksanakan peranan utamanya dalam menjaga keselamatan negara atau misi sekunder dalam memberikan bantuan semasa bencana.
“Dari aspek kelengkapan dan peralatan, perolehan aset Tentera Darat adalah lebih memfokuskan kepada kelengkapan dan peralatan pertahanan. Bagaimanapun, sebahagian daripada kelengkapan dan peralatan tersebut juga boleh digunakan bagi tugas-tugas untuk menangani bencana alam,” jelasnya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Ikmal Hisham, dalam aspek pengurusan bencana, Tentera Darat sentiasa bersedia untuk membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam misi bantuan kepada mangsa bencana alam melalui pelbagai Kor dan Rejimen di bawah perkhidmatan Tentera Darat.
“Ini termasuklah melibatkan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Kor Kesihatan Diraja (KKD). Dalam situasi bencana, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) berperanan memberikan bantuan sokongan dari aspek kejuruteraan medan seperti membina jambatan sementara (jambatan Compact Bailey), pembinaan laluan alternatif, pembersihan halangan serta bantuan penyediaan perkhidmatan penting seperti bekalan elektrik dan air serta telekomunikasi,” katanya.
Terdahulu, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat-PH) telah minta penjelasan peranan RAJD dan Kor Kesihatan sekiranya bencana berskala besar berlaku terutamanya di kawasan berhampiran dengan empangan, serta adakah peralatan atau kelengkapan tentera darat mencukupi. –UTUSAN ONLINE