Padi IS21 tingkat pendapatan pesawah, kos lebih rendah - Utusan Malaysia

Padi IS21 tingkat pendapatan pesawah, kos lebih rendah

Ismail Sabri Yaakob menyampaikan replika benih padi IS21 kepada wakil Komuniti sempena Majlis Penyerahan Benih Padi IS21 kepada Komuniti sambil diperhatikan oleh Datuk Seri Dr Adham Baba di Kampung Semaloi, Endau Mersing, Rabu lalu. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penggunaan Benih Padi IS21 yang berteknologi tinggi secara meluas mampu meningkatkan pendapatan pesawah dan petani sekalil gus membantu memperbaiki taraf hidup komuniti itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, maklum balas positif diterima daripada golongan itu selepas beliau melancarkan benih padi hasil penyelidikan Agensi Nuklear Malaysia tersebut empat bulan lalu di Sekincan, Selangor.

Beliau berkata, lebih istimewa, kos pengurusan sawah juga dapat dikurangkan memandangkan penanaman padi jenis itu tidak memerlukan penggunaan baja yang banyak.

Menurutnya, benih padi IS21 mempunyai daya tahan tinggi terhadap cuaca ekstrem dan mempunyai daya rintang terhadap beberapa penyakit padi yang sering merugikan pesawah.

“Baka padi IS21 ini juga berpotensi menghasilkan padi sehingga sembilan tan sehektar mengikut kawasan penanaman dan amalan kultura pesawah jika diurus dengan baik mengikut garis panduan yang disyorkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Benih Padi IS21 kepada komuniti petani dan pesawah, sebagai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Endau, Mersing, Johor, kelmarin.

Ismail Sabri berkata, benih padi yang berkualiti boleh membantu negara meningkatkan pengeluaran hasil padi dan membantu meningkatkan tahap sara diri negara.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada beras import serta dapat menjamin sekuriti makanan negara dan menyokong Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.

Bagi memastikan sumber makanan negara terjamin, selamat dan mencukupi, kata beliau, kerajaan sentiasa berusaha ke arah mencari kaedah-kaedah terbaik yang mampu meningkatkan penghasilan padi.

“Sudah pasti golongan yang memainkan peranan paling penting dalam produktiviti industri padi negara adalah para pesawah serta petani dan kebajikan mereka adalah tanggungjawab kerajaan.

“Membesar sebagai anak petani, saya memahami denyut nadi serta pahit jerih setiap petani di sini, saya memberi komitmen untuk memastikan tidak ada yang tercicir. Kebajikan petani serta Keluarga Malaysia sentiasa mendapat perhatian khusus daripada saya. Insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa berusaha memastikan usaha mempertingkatkan produktiviti industri padi dilakukan secara proaktif termasuk memperkenalkan teknologi terkini bagi mendepani cabaran serta memperkasakan keupayaan.

Justeru, beliau menyeru agar lebih ramai penyelidik tempatan dalam pelbagai bidang kepakaran tampil mengetengahkan penyelidikan dan pembangunan serta menggembleng tenaga bagi membangunkan inovasi agromakanan negara.

Katanya, MOSTI telah memberikan dana penyelidikan kepada syarikat Pengeluar Padi Sah di Sekinchan dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia bagi membangunkan Loji Pengeluaran Benih Asas Padi IS21 mengikut piawaian prosedur operasi standard (SOP) antarabangsa bagi menghasilkan benih sah berkualiti tinggi.

Perdana Menteri turut mengimbau semasa beliau mengemudi Kementerian Pertanian apabila pernah mencadangkan penghasilan benih padi berkualiti tinggi untuk meningkatkan pendapatan petani dan pesawah.

Beliau memberitahu, terdapat dua jenis padi yang boleh dihasilkan iaitu pertama jenis benih padi yang tahan jika ditenggelami air sekali gus tanaman padi tidak rosak jika berlaku banjir sebagaimana dilaksanakan beberapa negara seperti Filipina dan India.

“Yang kedua, jenis benih padi yang tidak menggunakan air yang banyak. Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menjalankan kajian ini, di mana padi itu tidak memerlukan air yang banyak seperti penggunaan tali air.

“Ia hanya memerlukan penyembur. Kajian dan ujian telah pun dijalankan, cuma ketika itu dari segi hasilnya agak rendah iaitu antara tiga hingga empat sahaja,” katanya.

Justeru, beliau mahu MOSTI dan MARDI bekerjasama menjalankan kajian supaya benih padi jenis berkenaan mampu mengeluarkan hasil yang lebih banyak.

Jika ia dapat direalisasikan, kata beliau, hasilnya tentu lebih tinggi dan dapat memberi keuntungan kepada petani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya