Operasi stesen janaelektrik di Kenyir ditutup sementara - Utusan Malaysia

Operasi stesen janaelektrik di Kenyir ditutup sementara

IR. BAHARIN DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Operasi Stesen Janalektrik Sultan Mahmud (SJSM) di Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu ditutup sementara bermula Ahad lalu berikutan menara penghantaran voltan tinggi yang menyalurkan bekalan elektrik dari SJSM kepada Grid Nasional tumbang akibat tanah runtuh.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Ir. Baharin Din berkata, hujan lebat luar biasa yang berterusan sejak Jumaat mengakibatkan kejadian tanah runtuh yang memutuskan perhubungan jalan keluar-masuk ke SJSM pada pukul 4 pagi Ahad lalu.

“Aliran mendapan yang membanjiri kawasan stesen, seterusnya mengalir ke Sungai Terengganu. Selepas itu pada pukul 10 pagi pada hari yang sama berlaku tanah runtuh yang meruntuhkan sebuah jambatan serta menara penghantaran 132kV itu. 

“Susulan itu, TNB segera menghentikan operasi SJSM dan mengeluarkan semua warga kerja dari stesen itu dengan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Baharin berkata, TNB telah mengaktifkan pelan tindakan kecemasan sebaik kejadian tanah runtuh itu berlaku bagi mengambil tindakan serta-merta untuk menangani situasi tersebut, termasuk penyelarasan dengan pihak berkepentingan, agensi kerajaan dan jabatan lain di TNB.

“Langkah-langkah lain turut melibatkan penilaian impak kejadian kepada struktur empangan dan pelaksanaaan langkah pemulihan bagi mengembalikan operasi SJSM. Penilaian awal mendapati integriti struktur empangan kekal kukuh dan selamat. Keadaan di sekitar Tasik Kenyir juga dijamin selamat.”

Sementara itu, katanya, TNB akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memantau keadaan cerun selain mendapatkan khidmat pakar perunding luar untuk membuat penilaian terperinci integriti empangan.

“Kami menjangkakan kerja baik pulih ini akan mengambil hampir enam bulan kerana ia juga merangkumi kerja-kerja membersihkan semua halangan dan kelodak banjir, meminimumkan kesan hakisan dan mengelak kemungkinan hakisan lanjut serta selenggaraan pada peralatan dan asset-aset penjanaan. 

“Langkah-langkah wajar bagi memastikan keselamatan stesen berada dalam keadaan terkawal juga telah diambil,” jelasnya.

Sepanjang penutupan sementara SJSM dengan kapasiti 400 megawatt ini, Baharin memberi jaminan bekalan elektrik kepada pengguna di Pantai Timur tidak akan terjejas kerana ianya boleh ditampung sumber penjanaan lain yang disalurkan menerusi sistem Grid Nasional.  –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN