Lebih baik hantar banduan ikuti kursus kemahiran - Utusan Malaysia

Lebih baik hantar banduan ikuti kursus kemahiran

MTUC cadangkan kerajaan beri latihan kepada banduan agar mereka dapat berdikari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disaran menghantar ‘banduan’ mengikuti kursus kemahiran berbanding menempatkan mereka dalam industri dan mengisi kekosongan tenaga kerja yang menggunakan warga asing.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, banduan terlibat boleh dihantar ke institusi kemahiran yang ada Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Katanya, ini bagi membantu mereka menjadi usahawan sekiranya tidak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat kelak.

“Apabila kita mahu membawa dan mencampurkan mereka yang lepas daripada pusat koreksi, bagaimana kita tentukan mereka telah insaf dan mampu pulang ke pangkuan masyarakat?.

“Saya lebih percaya mereka telah lama tidak bersama masyarakat, maka elok mereka dihantar ke kursus kemahiran untuk menjadi usahawan atau menjadi pekerja berkemahiran, itu akan ada kelebihan sekiranya mempunyai sijil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, seramai 10,000 banduan dijangka menjalani program Sistem Parol, Pelepasan Banduan Secara Lesen dan Program Reintegrasi Penghuni, dengan 80 peratus dianggar ditempatkan dalam industri sekali gus dapat membantu mengisi kekosongan tenaga kerja yang menggunakan warga asing.

Menurut Halim, kerajaan juga harus memikirkan insentif kepada majikan yang mahu mengambil ‘bekas banduan’ untuk bekerja dengan mereka.

“Jadi secara tak langsung syarikat akan lebih terbuka kerana mereka juga agak khuatir dengan bekas banduan berikutan yang mempunyai latar belakang jenayah.

“Jika tidak, ia amat sukar kerana bekas banduan agak kekok dan mungkin ada tekanan serta dipandang sinis ekoran latar belakang mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN