Lawatan PM ke Vietnam bakal meterai banyak kerjasama - Utusan Malaysia

Lawatan PM ke Vietnam bakal meterai banyak kerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal mengadakan lawatan rasmi sulung beliau ke sebuah lagi negara ASEAN, Vietnam selama tiga hari bermula esok.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, lawatan julung kali sejak pelantikan beliau sebagai pemimpin tersebut diadakan atas jemputan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh.

“Pertemuan antara kedua-dua tokoh itu bagi menilai kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan 2021-2025 Perkongsian Strategik Malaysia dan Vietnam,” kata Wisma Putra hari ini.

Dua pemimpin tersebut juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan sejagat yang berkepentingan bersama selain bakal hadir bagi menyaksikan pertukaran dokumen.

Ini meliputi Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Aktiviti Kerjasama Undang-Undang serta MoU berhubung Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Vietnam.

Dua negara serantau tersebut ujar Wisma Putra, juga bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam bidang latihan diplomatik yang bakal dizahirkan melalui satu surat hasrat secara rasmi.

Di samping itu, Perjanjian Kerjasama Profesional antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia dengan agensi berita kebangsaan Vietnam turut akan dimeterai ketika lawatan berkenaan.

“Berdasarkan program yang disusun, Perdana Menteri dijadual bertemu berasingan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Presiden Vietnam dan Pengerusi Dewan Rakyat,” katanya.

Ismail Sabri jelas kenyataan Wisma Putra, juga mengadakan sesi libat urus dengan komuniti perniagaan Malaysia dan bertemu dengan kumpulan rakyat ‘Keluarga Malaysia’ di Vietnam.

Kerjasama ekonomi kedua-dua negara mulai rancak sejak 2015 lalu dan sepanjang tahun lepas, nilai perdagangan Malaysia-Vietnam sudah pun berjaya mencecah kira-kira RM58 bilion.

Lawatan rasmi itu juga mencerminkan kepentingan hubungan dua hala selaku negara jiran dan rakan kongsi dalam ASEAN yang bakal meraikan ulang tahun hubungan diplomatik ke-50.

Jelasnya, Perdana Menteri akan turut diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah serta Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Para pegawai kanan kerajaan daripada Pejabat Perdana Menteri serta pelbagai kementerian yang berkaitan juga akan menyertai sepanjang lawatan berkenaan sebagai anggota delegasi. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN