KEPALA BATAS: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membantu dan memberi sokongan terhadap usaha Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam memulihkan kawasan berisiko tinggi untuk mewujudkan komuniti yang lebih selamat di negeri ini.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya kagum dengan usaha agensi itu yang berterusan membanteras kegiataan penyalahgunaan dadah khususnya di Parlimen Kepala Batas.
“Di peringkat KPKT, kita mengusahakan konsep kehidupan berdaya huni dan konsep ini tidak termaktub kepada kepada pembangunan perumahan, infrastruktur dan kemudahan semata-mata.
“Perhatian turut perlu diberikan terhadap soal keharmonian, keselamatan, kesejahteraan masyarakat secara umumnya.
“Masalah penyalahgunaan dadah akan merencatkan hasrat kita untuk mewujudkan kehidupan berdaya huni ekoran pelbagai masalah timbul disebabkannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kuala Muda “Bebas” di pekarangan Madrasal Al Saadah, di sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, berdasarkan data AADK, kawasan Kuala Muda, Pulau Mertajam dan Bakau Tua di sini diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko tinggi masalah penagihan serta penyalahgunaan dadah.
“Justeru, kementerian bersedia untuk memberikan peruntukan bagi membina Dataran Anak Muda Penaga bagi menggalakkan golongan belia setempat melibatkan diri dalam aktiviti sihat.
“Kita akan mencari lokasi yang bersesuaian untuk dijadikan lokasi buat anak muda menjalankan aktiviti sesuai sekali gus dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dalam kegiatan penyalahgunaan dadah,” katanya. –UTUSAN ONLINE