PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendedahkan peratusan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara bagi sektor perdagangan pengedaran adalah tinggi sehingga 99.9 peratus berdasarkan pemeriksaan di 1.088 juta premis sehingga 8 Mac 2022.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peratusan ini menunjukkan keputusan kerajaan untuk memasuki fasa peralihan endemik bermula 1 April depan adalah langkah terbaik untuk membolehkan Keluarga Malaysia kembali semula kepada kehidupan dan aktivitidalam norma baharu yang lebih selamat.
Katanya, pihaknya menyokong penuh SOP mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam yang wajib dipatuhi kerana langkah itu masih diperlukan bagi membendung Covid-19 terutama varian Omicron yang mudah merebak.
“Begitu juga langkah pencegahan dan pengesanan melalui pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera perlu terus diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka tidak sesak serta tiada perhimpunan orang ramai.
“Aplikasi MYSJTrace perlu terus diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi tetamu atau pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nanta Linggi berkata, KPDNHEP akan memastikan bekalan pelitup muka dan Kit Ujian Kendiri Covid-19 (RTK) sentiasa stabil dan peniaga mematuhi harga maksimum yang telah ditetapkan kerajaan.
Katanya, KPDNHEP juga akan memastikan SOP ini terus dipatuhi oleh pengguna ketika mengunjungi premis perniagaan terutama sektor peruncitan dan pengedaran di bawah seliaan KPDNHEP.
“Sebagai makluman, sebanyak 1,063 kes direkodkan bagi pelbagai kesalahan ketidakpatuhan SOP dan jumlah kompaun yang dikeluarkan pula adalah sebanyak RM5.267 juta
sepanjang tempoh yang sama yang bermula 13 Mei tahun lalu.
“Seluruh rakyat terutama komuniti perniagaan dan pengguna sudah pastinya menyambut baik pengumuman ini dan menyokong kesemua sepuluh SOP Peralihan Ke Endemik agar negara segera kembali kepada kehidupan dan aktiviti seperti biasa sebelum Covid-19 tetapi dalam norma baharu yang lebih selamat dan berdaya maju, “katanya
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan fasa peralihan endemik negara mulai 1 April ini, dengan kelonggaran SOP diperluas di semua peringkat. –UTUSAN ONLINE









