Kemiskinan antara faktor keciciran murid di Perak

Kemiskinan antara faktor keciciran murid di Perak

AHMAD SAIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Masalah kemiskinan dan tiada dokumen adalah antara faktor yang menyebabkan keciciran murid sekolah rendah di negeri ini walaupun peratusannya  adalah antara 0.03 hingga 0.06 peratus dari 2018 hingga 2021.

Dalam tempoh itu juga purata keciciran murid sekolah menengah sekitar 0.7 hingga 0.9 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, ia merangkumi murid dan pelajar di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan melalui rekod daripada Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).

“Bagi peratusan kehadiran dan keciciran Sekolah Murid Orang Asli (SMOA) di Perak yang melalui aplikasi APDM pula ialah antara 0.72 hingga 1.35 peratus bagi tempoh tersebut,” katanya ketika menjawab soalan lisan Sandrea Ng (PH-Teja) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Menurut Ahmad Saidi, faktor-faktor yang menyebabkan keciciran murid adalah kemiskinan, masalah keluarga, masalah kesihatan, tidak berminat terhadap pelajaran, masalah disiplin, berkahwin, tiada dokumen, menghadapi masalah pengangkutan ke sekolah, cacat, takut pergi ke sekolah, bekerja dan meninggal dunia.

Walau bagaimanapun, jelasnya, tidak semua murid tercicir daripada mengikuti persekolahan kerana sebahagian besar murid  atau pelajar yang keluar daripada sistem persekolahan Kementerian Pendidikan (KPM) meneruskan pelajaran mereka di sekolah pondok, sekolah antarabangsa dan madrasah. 

Beliau menambah, sebahagian kecil pula mengikuti ’Home Schooling’ atau belajar sendiri di rumah serta ada pula mengikut keluarga berhijrah ke luar negara.

Bagi menangani isu keciciran dalam kalangan murid Orang Asli pula, beberapa inisiatif dan usaha telah dijalankan oleh KPM antaranya menyediakan pelbagai bantuan seperti pemberian buku teks secara percuma, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pembinaan asrama sekolah supaya semua kanak-kanak dapat bersekolah. 

 “Selain itu, bantuan yang diberikan adalah seperti bantuan yuran khas sekolah, bantuan kokurikulum sekolah, bantuan sukan sekolah, bantuan bayaran tambahan persekolahan, bantuan khas awal persekolahan, bantuan Kumpulan Wang Amanah Murid Miskin, bantuan pakaian seragam badan berpakaian seragam, bantuan makanan asrama, bantuan kenderaan asrama dan bantuan kokurikulum asrama,” ujar beliau.

Selain itu, beliau menjelaskan KPM juga menyediakan biasiswa kepada murid daripada golongan berpendapatan rendah yang cemerlang iaitu Biasiswa Kecil Persekutuan. 

Selain KPM, jelasnya, terdapat juga agensi lain yang turut menyediakan bantuan kepada murid daripada golongan berpendapatan rendah seperti Jabatan Kemajuan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA).

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Perak juga sentiasa berusaha untuk mengurangkan kadar keciciran dengan mengadakan pelbagai program intervensi seperti Pelaksanaan Amalan Guru Penyayang, Pemantauan  Kaunseling Berfokus, Program Pembangunan Sahsiah Murid, Program Sekolah Berasrama, Program Kunjungan Ke Rumah Pelajar / Ziarah Cakna serta program-program di bawah Tuisyen Cikgu Saarani (TCS),” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN