Kehilangan bapa dorong Yazuqi gigih belajar, muncul siswazah cemerlang

Kehilangan bapa dorong Yazuqi gigih belajar, muncul siswazah cemerlang YNS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kehilangan bapa pada usia 15 tahun dan perlu memikul tanggungjawab sebagai anak sulung kepada dua orang adik beradik lain membulatkan tekad Muhammad Yazuqi Othman, 27, untuk cemerlang dalam pelajarannya.

Kegigihannya itu membuahkan hasil apabila dia muncul sebagai pelajar cemerlang dan memperoleh ijazah kelas pertama bagi jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Terengganu.

Kecemerlangannya itu, membolehkan dia menerima wang tunai RM5,000 pada Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama oleh Yayasan Negeri Sembilan (YNS) malah pinjaman pelajarannya dengan YNS sebanyak RM20,000 juga dihapus kira.

“Ibu saya berhenti kerja awal kerana tidak sihat, sepanjang belajar ini, YNS banyak membantu termasuk daripada segi kewangan, yuran, belanja sehinggakan pengangkutan balik pun YNS sediakan.

BEBANAN KEWANGAN

“Memang saya rasa sedikit sebanyak mengurangkan bebanan kewangan pelajar seperti saya. Rasa syukur sangat dapat bantuan dan sejak itu saya tetapkan azam dan apa yang dilalui menjadi pemangkin untuk terus ke hadapan dan merebut peluang yang ada,” katanya.

Dia ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama YNS Bilangan 2 Tahun 2022 di sini hari ini. Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Muhammad Yazuqi yang kini sudah pun bekerja sebagai Pegawai Rakan Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menambah, kehilangan seorang bapa ketika dia masih memerlukan bimbingan memang sedikit memberi kesukaran dalam kehidupannya.

“Tiadanya ayah dalam keluarga sedikit sebanyak perjalanan hidup saya juga berubah, sebelum ini apa-apa ayah yang uruskan, ibu juga tidak sihat. Bermula tingkatan empat tu, semua saya sendiri, pergi sekolah sendiri.

“Namun, Alhamdulillah saya mempunyai adik beradik berlainan ibu, mereka juga banyak yang bantu saya dan ibu malah mereka juga yang hantarkan saya untuk menyambung pelajaran di Unisza,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya memberitahu, pada majlis tersebut seramai 100 orang siswazah cemerlang menerima hadiah penghargaan sebanyak RM5,000 daripada kerajaan negeri dan ia melibatkan perbelanjaan sebanyak RM500,000.

“Pada majlis hari ini juga seramai 20 orang penerima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan yang mendapat pinjaman pendidikan dari YNS akan mendapat hapus kira pinjaman pendidikan bernilai RM334,800,” katanya.

Sementara itu Menteri Besar berkata, tahun ini kerajaan Negeri Sembilan telah menyediakan sebanyak 500 komputer riba pada tahun yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.2 juta.

“Seramai 200 pelajar pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dalam kalangan golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) telah menerima bantuan ini manakala selebihnya akan diberikan kepada mahasiswa yang belajar di institut pengajian tinggi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya