KUANTAN: Kanak-kanak 11 tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah pelajar senior di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin, di sini, Ahad lalu disifatkan sebagai seorang yang baik dan ramah.
Jiran, Mohamad Ikmal Hasbullah Arifin, 23, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan Muhammad Hafdan Qurbani Azhar ketika berkumpul di pusat pemindahan banjir ketika banjir melanda Kampung Gelugur pada Disember tahun lalu.
Katanya, dia mengenali kanak-kanak itu sejak mangsa masih kecil dan sering melihatnya bermain basikal bersama adiknya di hadapan rumahnya yang merupakan bengkel kereta di situ.
“Saya sering datang ke bengkel ayah arwah menghantar kereta untuk dibaiki dan setiap kali itu, arwah sering menegur saya walaupun kami tidak rapat sangat.
“Dia (arwah) memang seorang yang sangat baik dan mudah mesra dengan orang. Saya tidak sangka perkara ini terjadi kepadanya,” katanya kepada pemberita di Kampung Gelugor di sini hari ini.
Mohamad Ikmal Hasbullah memberitahu, dia mendapat tahu tentang kejadian menimpa mangsa sekitar waktu Maghrib, Ahad lalu.
“Saya dapat tahu dalam kumpulan aplikasi WhatsApp dan saya merasa terkejut dengan kejadian ini kerana saya mengenali arwah seorang yang sangat baik.
“Takkanlah kerana RM4, sanggup buat arwah macam itu. Saya sebagai jiran juga merasa geram dengan apa yang berlaku ke atas arwah dan berharap arwah mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.
Muhammad Ikmal Hasbullah dikatakan turut terlibat dengan kerja-kerja menggali kubur mangsa yang telah bermula sejak semalam.
Jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugor, di sini, petang ini. –UTUSAN ONLINE










