JOHOR BAHRU: Menang satu kerusi sudah mencukupi buat Parti Bangsa Malaysia (PBM) menjadi penentu pembentukan kerajaan negeri 12 Mac ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Kanan 1 PBM, Steven Choong berkata, ramai meremehkan percubaan pertama PBM sehingga menafikan potensi parti baru setahun jagung itu.
Kata Ahli Parlimen Tebrau itu, sebaliknya PBM mampu memberi kejutan dan tidak boleh dipandang rendah.
“Amat mustahil kita hendak bentuk kerajaan sebab bertanding empat kerusi sahaja, tetapi sekiranya keputusan DUN tergantung dan PBM menang semua kerusi atau hanya satu kerusi pun, kita boleh jadi king maker.
“Kita menyokong parti menang banyak kerusi bagi mencukupkan kerusi pembentukan kerajaan negeri. Itu sekiranya parti berkenaan menepati aspirasi Agenda The Great Reset 2030 PBM iaitu mahu mengeratkan perpaduan antara kaum, meningkatkan penglibatan golongan muda dan memperkasakan peranan wanita,” katanya ditemui di sini semalam.
PBM bertanding empat kerusi DUN di Puteri Wangsa, Tiram, Stulang dan Maharani.
Steven yang juga calon PBM DUN Puteri Wangsa menaruh keyakinan partinya mampu menerima sokongan pengundi termasuk dalam kalangan ahli-ahli PKR yang menolak penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai sekutu Pakatan Harapan (PH) di beberapa kerusi.
“Misalnya di Puteri Wangsa, terdapat ahli PKR yang boikot kerana PH menyerahkan kerusi kepada Muda sedangkan asalnya milik PKR sebelum bertukar tangan kepada Parti Amanah.
“Namun kami berharap rakyat dapat melihat agenda diperjuangkan PBM. Termasuklah jasa saya sepanjang satu penggal menjadi Ahli Parlimen Tebrau untuk memberikan undi kepada kami,” kata beliau. – UTUSAN











