Helikopter MD530G bukti pemodenan aset Tentera Darat - Utusan Malaysia

Helikopter MD530G bukti pemodenan aset Tentera Darat

Helikopter MD530G aset terbaharu Tentera Darat akan memperkukuhkan lagi operasi pasukan itu dalam menjaga keselamatan negara. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketibaan helikopter tempur MD 530G yang bakal diterima oleh Tentera Darat Malaysia akan memperkukuhkan lagi aspek keselamatan negara.

Penerimaan helikopter ini nanti sekali gus membuktikan Tentera Darat meletakkan keupayaan dan kesiapsiagaan sebagai agenda utamanya dalam mengekang segala ancaman.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, pembelian helikopter itu merupakan satu keperluan masa kini dan dijangka dapat beroperasi dalam tempoh enam bulan sebaik sahaja juruterbang serta juruteknik selesai latihan penyesuaian.

Menurutnya, sebelum ini sebanyak lapan juruterbang dan sembilan juruteknik helikopter MD530G dilatih di AS bagi aspek pengendalian serta penyelenggaraan.

“Pesawat kini melalui pemeriksaan Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) yang dijangka dilaksanakan selama enam hari sehingga Rabu ini sebelum proses penerimaan akhir oleh Tentera Darat.

“Satu tim pemeriksaan yang dikenali Final Acceptance Test (FAT) telah ditubuhkan dan akan dipertanggungjawabkan untuk memeriksa pesawat ini secara terperinci. Proses itu dijadualkan sehingga 27 Mac.

“Setelah lulus pemeriksaan akhir dan ditandatangani wakil syarikat, ia menjadi milik Tentera Darat secara
rasminya,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Ketibaan Enam Unit Pesawat MD530G Hangar
2, Invation Aero, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dekat sini semalam.

Mengulas penugasan helikopter tersebut, Zamrose berkata, tiga pesawat akan diletakkan di Sabah bagi menjaga keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) manakala tiga lagi diletakkan di
Rejimen 881 Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) di Kem Mahkota Kluang, sebagai persediaan serta kesiapsiagaan.

Katanya, pembelian helikopter itu juga merupakan satu keperluan kepada Tentera Darat dan bertepatan dengan keperluan penugasan operasi di persisiran pantai terutama selepas peristiwa di Lahad Datu pada 2013.

“Sebelum ini Tentera Darat hanya memiliki pesawat Agusta yang berperanan sebagai pesawat tinjauan ringan dan tidak dilengkapi dengan persenjataan sebelum diletakkan persenjataan 7.62 mm gatling gun untuk bertindak sebagai helikopter penggempur ringan.

“Berdasarkan keperluan penugasan serta mengambil kira faktor kewangan dan bentuk ancaman,Tentera Darat berpendapat MD530G adalah pilihan terbaik,” ujarnya.

Helikopter buatan AS itu berharga RM321.9 juta dilengkapi sistem persenjataan seperti pelancar roket
70 milimeter (mm) dan gatling gun 7.62mm serta mesingan berat 12.7 mm.  Pesawat MD530G akan berperanan sebagai helikopter tempur ringan dengan kemampuan menggempur kenderaan perisai ringan dan trup infantri pada jarak 500 meter sehingga tujuh kilometer selain melaksanakan tugas tinjauan udara.

Tambah Zamrose, pembelian MD530G juga merupakan platform terbaik sebagai persediaan juruterbang dan juruteknik PUTD sebelum beralih kepada helikopter tempur yang lebih lengkap.

Pesawat itu dibekalkan Syarikat Halaman Optima Sdn. Bhd. melalui Syarikat Destini Prima Sdn Bhd. dan dibina MD Helicopter Inc (MDHI).

Kontrak perolehan MD530G merangkumi program latihan juruterbang dan juruteknik PUTD.

Lapan juruterbang dan sembilan juruteknik menghadiri program latihan itu di Mesa, Arizona, AS
selama 43 hari bermula 26 April hingga 11 Jun tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya