PUTRAJAYA: Lepasan graduan dan individu berminat boleh merebut peluang kerjaya dalam sektor syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sempena Hari Terbuka GLC 2022 pada 11 hingga 13 Mac ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, hari terbuka itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan bakal disertai 20 buah GLC dan GLIC terkemuka negara.
Beliau berkata, antaranya adalah Khazanah Nasional Bhd., Permodalan Nasional Bhd., Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan, Lembaga Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan PETRONAS.
“Hari terbuka itu bertemakan Aspirasi Masyarakat Inspirasi Negara, berpaksikan kepada lima fokus utama iaitu Rakyat, Perniagaan, Ekonomi, Kesihatan Awam dan Agenda Bumiputera.
“Ia juga memberi peluang untuk rakyat mengetahui lebih lanjut tentang peranan dan sumbangan GLC dan GLIC di dalam pembangunan sosio-ekonomi Malaysia di samping mendapat maklumat lanjut mengenai peluang-peluang pekerjaan dan biasiswa yang ditawarkan oleh beberapa GLC dan GLIC,” katanya menerusi Laporan Kewangan Rakyat Ke-87, hari ini.
Katanya, sejak lebih setahun lalu, Kementerian Kewangan memulakan usaha penyelarasan fungsi-fungsi GLIC dan GLC bagi memastikan mereka akan terus mampu untuk mempercepatkan pemulihan dan pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia pasca-pandemik.
Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata, beliau mahu pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan supaya merebut peluang Inisiatif SemarakNiaga yang dilancarkan pada 21 Februari lalu.
Menurutnya, menerusi inisiatif itu, kerajaan menyediakan peruntukan RM40 bilion bagi membantu PMKS bangkit semula selepas terkesan teruk dengan pandemik Covid-19 membabitkan pelbagai bantuan dan inisiatif seperti moratorium, pinjaman mudah dan subsidi gaji sekali gus membantu usahawan kekal bertahan daripada impak Covid-19.
“Bagi PMKS di luar sana yang masih memerlukan bantuan, gunakanlah peluang ini dan kemukakan permohonan mengikut keperluan dan bidang masing-masing kerana kerajaan menawarkan pelbagai solusi untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh perniagaan,” katanya.
Maklumat lanjut tentang bantuan yang boleh diperolehi menerusi insiatif Semarak Niaga, boleh layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/semarakniaga.html. –UTUSAN ONLINE










