JOHOR BAHRU: Dakwaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kononnya tiada kesedaran politik Islam di Johor bukan sahaja menghina orang Johor tetapi seolah-olah ‘menghina’ institusi yang memayungi agama Islam di negeri ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, sedangkan negeri ini subur dengan penerapan Islam beserta nilai-nilainya sekali.
Kata beliau, hakikatnya Islam di Johor berkembang baik di bawah naungan institusi raja yang memayunginya.
“Beliau (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) perlu semak semula apakah (bentuk) pembawaan Islam di bawah Pas sehingga partinya sendiri gagal bertapak dengan baik di Johor.
“Terpaksa pula menumpang, baik dengan Perikatan Nasional (PN) atau parti lain. Ini satu tuduhan tidak bertanggungjawab.
“Jika dulu Islam digambar dan dijaja oleh Pas sentiasa (dilihat) memecahbelahkan masyarakat dengan solat dua imam. Tetapi itu tidak berlaku di Johor kerana Islam di Johor adalah rahmah dan lebih sesuai dengan seluruh rakyat Johor.
“Apabila Pas sudah gagal membawa doktrin Islam yang keras, akhirnya salahkan pula rakyat bangsa Johor. Ini tidak adil,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Abdul Hadi dalam wawancara kepada akhbar ini berkata, kurang kesedaran politik Islam di Johor menjadi punca Pas tidak mampu menawan hati penduduk negeri itu walaupun ia antara negeri terawal ditubuhkan cawangan Pas. – UTUSAN










