PETALING JAYA: Guru-guru dinasihatkan untuk tidak terlalu bergantung kepada buku teks, sebaliknya menggunakan bahan bantu mengajar dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, buku teks hanya perlu dijadikan sebagai panduan bagi membolehkan sesi PdP mereka itu tetap selari dengan kurikulum yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.
Malah katanya, buku teks juga hanya perlu dijadikan sebagai rujukan untuk pelajar memahami sesuatu subjek sama ada sebelum atau selepas sesi PdP.
“Guru-guru boleh guna bahan pengajaran yang selari dengan kurikulum pendidikan semasa mengajar, bukan bergantung kepada buku teks.
“Jika (guru) bergantung kepada buku teks, ia terhad juga sebab mungkin sesuatu tajuk itu hanya diterangkan dalam dua atau tiga muka surat sahaja, sedangkan tajuk itu luas.
“Buku teks itu boleh baca di rumah, jadi keesokannya guru itu perincikan lagi menggunakan bahan bantu mengajar, (buku teks itu) sebagai panduan dan rujukan guru dan pelajar, tetapi tak semesti bawa ke sekolah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Beliau mengulas isu beg sekolah berat yang sudah lama berbangkit sehingga mendapat perhatian daripada Kementerian Pelajaran.
Malah, pihak kementerian turut mencadangkan supaya pihak sekolah membuat lokar untuk murid menyimpan buku di sekolah, namun ia tidak dilihat sebagai satu langkah penyelesaian jangka panjang.
Menurut Alimuddin, banyak kaedah pengajaran yang boleh digunakan dan teknologi sedia ada bagi membantu mereka dalam sesi PdP.
Katanya, ini juga dapat membantu pelajar untuk lebih berminat daripada hanya bergantung kepada buku teks semata-mata. – UTUSAN










