ALOR SETAR: Cadangan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor supaya Kerajaan Persekutuan membenarkan Kedah mengeksport ketum ke Thailand dipersoalkan Pengerusi DAP negeri, Tan Kok Yew yang turut mengaitkannya dengan usaha membanteras judi haram.
Ahli Dewan Undangan Negeri Derga itu berkata, tindakan Muhammad Sanusi itu sesuatu yang menghairankan kerana Menteri Besar itu mendakwa, pengeksportan ketum dapat membendung serta membanteras penyeludupan tumbuhan tersebut yang berleluasa di sempadan negara.
Namun, katanya, Muhammad Sanusi mengambil pendekatan berbeza dalam isu berlainan apabila menghentikan lesen judi berlesen hingga mengakibatkan judi-judi tanpa lesen bertambah di negeri ini.
“Judi adalah haram bagi semua orang Islam, ini adalah fakta dan tiada siapa boleh persoalkannya, malah, kami dari parti DAP juga faham dan pertahankan judi adalah haram untuk orang Islam. Tetapi, bagi bukan Islam dan di negara kita, judi tidak salah melainkan ia adalah judi tanpa lesen.
“Dalam isu judi di Kedah, Menteri Besar menghentikannya atas alasan judi bukan sesuatu yang baik. Oleh itu daripada semua premis judi di Kedah ini berlesen dulu, kini berlambak judi tidak berlesen yang muncul kerana judi berlesen dihentikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Kok Yew yang juga Ahli DUN Derga turut meminta penjelasan Muhammad Sanusi dan bertanya sama ada terdapat jaminan tidak akan berlaku salah guna ketum dalam kalangan masyarakat sekiranya cadangan mengeksport tumbuhan tersebut dibenarkan.
Beliau malah turut mempersoalkan sama ada wujud jaminan bahawa penyeludupan ketum dapat dibanteras menerusi cadangan dibangkitkan Muhammad Sanusi itu.
“Saya faham Menteri Besar memikirkan ekonomi negeri, tetapi, tidakkah lebih baik tumpukan kepada apa yang sudah diumumkan sebelum ini?
“Hampir dua tahun lalu Menteri Besar umum bahawa kerajaan telah meluluskan permit meneroka mineral baharu Unsur Nadi Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Sik yang dianggarkan bernilai RM62 billion. Berapa kupang sudah kerajaan negeri dapat?” soalnya. –UTUSAN ONLINE










