Buka sempadan, MAHB tunggu maklum balas KKM, MKN - Utusan Malaysia

Buka sempadan, MAHB tunggu maklum balas KKM, MKN

ZAMBRY Abd. Kadir menyampaikan bantuan #MYAirportCARES pek ceria kembali ke sekolah MAHB di Dewan Merdeka, Seri Manjung, hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) sedang berurusan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengetahui apakah protokol kesihatan yang perlu dilaksanakan di semua lapangan terbang seluruh negara apabila pintu sempadan antarabangsa dibuka pada 1 April ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, tugas syarikat itu dalam fasa peralihan endemik nanti adalah bergantung kepada keputusan pihak kerajaan dalam usaha memudah cara proses-proses dilaksanakan kepada penumpang di lapangan terbang.

“Jadi, kita sekarang sedang berurusan dengan KKM dan MKN untuk mendapatkan dan mengetahui apakah protokol kesihatan terkini yang perlu dilaksanakan di lapangan terbang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program #MYAirportCARES Pek Ceria Kembali Ke Sekolah anjuran Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Seri Manjung, hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial MAHB, Hani Ezra Hussin dan Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris.

Mengenai isu kesesakan melibatkan penumpang yang balik dari mengerjakan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tular dalam media sosial, Zambry menjelaskan, keadaan semakin terkawal sejak semalam selepas semua agensi berkaitan bekerjasama dalam memastikan urusan berkaitan berjalan lancar.

Jelas beliau, ia termasuk menugaskan lebih ramai kakitangan dan sumber di lapangan terbang untuk memastikan proses dokumentasi berjalan lancar. 

“Kami bekerjasama dengan semua agensi kerajaan untuk melancarkan proses berkaitan dan menyarankan penumpang yang balik dari umrah untuk mengisi setiap borang berkaitan di Arab Saudi sebelum berlepas ke tanah air.

“Diakui ada banyak borang yang perlu diisi dan kami juga mengemukakan perkara yang sama, masalah teknikal yang melambatkan proses, saya difahamkan kerajaan mengambil maklum pandangan pelbagai pihak berkaitan isu ini termasuk dari MAHB,” ujar beliau.

Sementara itu, Zambry menjelaskan seramai 1,500 pelajar sekolah rendah dan menengah dari daerah Manjung menerima pek ceria kembali ke sekolah menerusi Program Tanggungjawab Korporat (CR) MAHB itu melibatkan sumbangan bernilai keseluruhan RM225,000 yang juga terbesar pernah diberikan syarikat itu sejak melaksanakan program itu pada 2018.

Menurut beliau, sumbangan berupa barangan kelengkapan asas sekolah seperti pakaian seragam, beg, kasut dan alat tulis serta pelitup muka bertujuan mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan dan penduduk yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dalam menghadapi pembukaan sesi persekolahan akhir bulan ini. –UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN