PETALING JAYA: Jumlah aliran trafik di semua lebuh raya utama dijangka meningkat sehingga 90 peratus kepada 4.7 juta kenderaan susulan pembukaan sempadan negara bermula esok, serentak dengan tibanya Ramadan pada hujung minggu ini.
Orang ramai mengambil peluang balik ke kampung untuk menyambut Ramadan selepas dua tahun tidak dibenarkan merentas negeri akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun berturut-turut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kassim Karim berkata, antara lebuh raya yang dijangka mengalami peningkatan ialah Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).
“Jumlah kenderaan boleh naik sehingga 90 peratus berbanding sekitar 400,000 kenderaan ketika bulan Ramadan semasa PKP lalu.
“Kita sudah bersedia agar trafik lancar kerana sudah tentu rakyat teruja dengan bermulanya hari pertama endemik Jumaat ini serentak dengan kedatangan hari pertama Ramadan pada Ahad ini,” kata beliau.
Mat Kassim berkata, jalan-jalan utama menghubungi negeri juga mungkin akan berlaku kenaikan kenderaan mulai esok.
Beliau memberitahu, peningkatan trafik sudah mula berlaku sejak minggu lalu apabila beberapa lokasi terutama di Plaza Tol Gombak merekodkan jumlah aliran trafik yang tinggi.
“Analisis JPST mendapati kira-kira 1.07 juta kenderaan menggunakan Lebuh Raya Utara – Selatan (PLUS) manakala 1.2 juta pada hari Sabtu.
“Trend tersebut dijangka akan terus melonjak kepada 4.5 juta kenderaan di semua lebuh raya menjelang minggu ini ekoran pembukaan pintu sempadan antara negara selain kedatangan bulan Ramadan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar memandu dengan selamat, berhemah dan cermat.
“Sentiasa pastikan kenderaan diselenggara dengan baik dan rancang perjalanan agar selamat sampai ke destinasi,” ujar beliau. – UTUSAN








