JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor menggariskan lima ikhtiar atau manifesto utama yang antaranya mewujudkan lebih banyak rumah transit kepada golongan belia atau Orang Muda Johor (OMJ) yang layak selain mewujudkan bantuan kewangan RM500 kepada mahasiswa dari keluarga B40.
Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, rumah transit tersebut akan dikenakan kadar sewa yang berpatutan di kawasan-kawasan strategik sebagai sebahagian daripada enam inisiatif utama dalam masa lima tahun bagi segmen kumpulan masyarakat itu.
Terdahulu, Hasni mengumumkan inisiatif-inisiatif tersebut yang merangkumi lima fokus utama iaitu kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, OMJ, pentadbiran berintegriti dan reformasi politik.
Beliau berkata, sudah tiba masa untuk rakyat Johor menentukan masa depan yang stabil buat negeri dan bangsanya dengan bersama-sama memakmurkan Johor dengan ekonomi yang maju, perniagaan yang bercambah, infrastruktur yang moden dan kualiti hidup yang terbaik.
“Ingatlah, Johor harus tetap jadi Johor. Kelima-lima ikhtiar ini adalah untuk mencapai dan menyokong matlamat utama BN Johor iaitu menjadikan Johor sebagai negeri yang makmur sambil didukung oleh naratif politik baharu yang matang lagi stabil.
“Ikhtiar dan inisiatif utama yang telah saya sebutkan merupakan ikhtiar dan inisiatif yang realis. Kita tidak berjanji. Kita berikhtiar dan ikhtiar-ikhtiar kita akan terus dikembang dan diperkasakan semata-mata untuk kemakmuran Johor Darul Takzim,” katanya pada pelancaran secara maya di sini. –UTUSAN ONLINE