BAGAN DATUK: Sebuah pertubuhan belia, Team Anak Muda Utara berjaya mengumpul kira-kira 40 tan pakaian terpakai untuk diagihkan kepada mangsa banjir di seluruh negara menerusi program kebajikan yang dilaksanakan sejak April lalu.
Pengasasnya, Naziroh Yahaya, 40, berkata, pertubuhan itu dianggotai golongan belia berusia antara 19 hingga 25 tahun yang aktif menganjurkan program kemasyarakatan di seluruh negara.
Menurutnya, program utama yang dijalankan adalah pembelian dan pengumpulan pakaian terpakai yang ditempatkan di masjid-masjid terpilih sebagai usaha menggalakkan budaya infak dalam kalangan masyarakat serta mengurangkan pembaziran pakaian yang masih boleh digunakan.
“Pakaian yang dikumpulkan sama ada dibeli pada harga minimum 10 sen sekilogram atau diterima sebagai sumbangan infak. Kesemuanya akan diagihkan semula atau diuruskan dengan lebih bermanfaat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Naziroh berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat tempatan yang berminat membeli pakaian terpakai berkenaan untuk dijadikan sumbangan kepada mangsa banjir, kebakaran dan golongan memerlukan di seluruh negara.
Tambahnya, program tersebut turut memberi manfaat kepada masjid melalui sumbangan dana hasil infak yang dikumpulkan.
“Setakat ini, Team Anak Muda Utara telah mengunjungi lebih 100 masjid dan menyalurkan infak berjumlah RM130,000 kepada masjid-masjid terlibat,” katanya.
Beliau menjelaskan, pakaian terpakai yang dikumpulkan sepanjang tempoh seminggu kempen akan dihantar ke kawasan terjejas banjir dan lokasi terpencil di beberapa negeri bagi tujuan pengurusan serta pengagihan kepada mangsa.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi Program Pembelian dan Pengumpulan Pakaian Terpakai anjuran Team Anak Muda Utara dengan kerjasama masjid-masjid terpilih di seluruh negara. – UTUSAN










