SEMASA kempen pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai 16 November 2019, calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini tersalah langkah.
Dia mengundang kemarahan golongan pekebun kecil apabila meminta mereka bersyukur meskipun harga komoditi kelapa sawit masih rendah. Karmaine barangkali terkhilaf memahami sentimen, perasaan peneroka.
Dan ia antara sebab calon Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar.
Di Johor di ambang pengundian 12 Mac ini, undi masyarakat Felda mainkan peranan besar menjamin kemenangan parti-parti politik bertanding. Siapa menjuarai nasib isu peneroka, pasti memikat hati pengundi.
Terdapat 23,642 peneroka di 72 kawasan dalam 24 kerusi DUN di Johor sahaja. Ia kedua teramai selepas Pahang.
Dalam kempen PRN Johor, BN menerusi Ikhtiar BN mengariskan agenda perumahan untuk generasi kedua Felda. Menerusi tunjang Kesejahteraan Rakyat, janjinya mahu peruntukkan 3,200 lot tanah kepada generasi kedua jika mendapat mandat baharu.
PN pula sama prihatinnya. Malah, dalam siri kempen mendakwa kerajaan pimpinannya yang terdahululah (17 bulan dari Februari 2020 hingga 16 Ogos 2021) melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion. Selain itu menyediakan RM400 juta bagi menghapuskan faedah hutang kebun peneroka.
Tetapi ada pihak menyangkalnya. Kata pihak berkenaan, usaha itu hasil titis peluh perjuangan para peneroka. Menerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP), bukannya dari PN sendiri.
Bagi Pakatan Harapan pula, senyap belaka mereka. Tak sebut pun pasal Felda dalam manifesto diumumkan kelmarin. Sedih peneroka.
Suatu ketika semasa DAP dan PKR menjadi pembangkang, kawasan Felda amat sukar ditembusi. Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU13 hanya menang enam daripada keseluruhan 54 kerusi Parlimen dalam tanah rancangan itu.
Tetapi pada PRU14, PKR kuasai 19 kerusi Parlimen di Felda berbanding satu kerusi pada 2013. Malang menimpa UMNO-BN yang pernah memenangi 48 kerusi Parlimen Felda pada 2013. Tetapi sekadar kutip 27 kerusi Parlimen pada PRU14 – salah satu punca tumbangnya BN.
Sejumlah 54 kerusi Parlimen Felda yang di dalamnya ada 92 kerusi DUN itu cukup besar ertinya kepada mana-mana parti Melayu.
Johor ada 24 kerusi Felda daripada 56? Menghampiri majoriti mudah 28 kerusi bukan? – UTUSAN










