PETALING JAYA: Hanya 28 peratus masalah beg sekolah berat daripada buku teks dan latihan manakala selebihnya didakwa melibatkan peralatan seperti botol minuman, bekas makanan, alat tulis dan pakaian.
Malah, ibu bapa juga didakwa tidak memainkan peranan memantau dan memastikan kandungan beg sekolah terutama murid-murid tahap satu tidak dipenuhi benda lain selain bahan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Wang Heng Suan berkata, ibu bapa perlu bersama-sama memainkan peranan bagi membantu menyelesaikan isu 70 peratus kandungan lain di dalam beg sekolah anak mereka.
Beliau percaya murid-murid terutama tahap satu belum tentu berupaya mengatur kandungan beg sekolah mereka sendiri sehingga membawa apa sahaja yang mereka rasakan perlu meskipun tidak mempunyai kaitan dengan sesi PdP.
“Ibu bapa perlu beri perhatian kepada isi kandungan beg sekolah yang anak mereka selalu bawa. Kita sebut begini nanti orang marah, tetapi sesetengah itu bawa permainan pun ada.
“Apabila ada tambahan, ia menyebabkan beg sekolah semakin berat padahal kandungan buku teks itu hanya hampir 30 peratus.
“Kalau ibu bapa mainkan peranan, maka tak akan timbul isu kandungan lain sebanyak 70 peratus itu, tetapi saya tak salahkan mereka 100 peratus.
“Kita tahu ibu bapa sibuk, tetapi kalau boleh bagi masa sikit untuk pantau beg sekolah anak-anak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Heng Suan, pihaknya juga percaya pemantauan oleh ibu bapa terhadap kandungan beg sekolah itu mampu memupuk jambatan kasih sayang terhadap anak mereka.
“Kadangkala di sekolah pun murid beritahu ibu bapa seolah tak peduli dan pentingkan pelajaran mereka.
“Tetapi sekurang-kurangnya dengan memantau kandungan beg sekolah mereka, murid-murid boleh rasa seronok dan kasih sayang itu kerana pendidikan ini dua hala yang bukan hanya melibatkan guru saja,” ujarnya. – UTUSAN










