Bekas PM Jepun lawat Malaysia - Utusan Malaysia

Bekas PM Jepun lawat Malaysia

SHINZO ABE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Ia antara acara lawatan khas ke Malaysia selama tiga hari beliau yang juga merangkap Utusan Khas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, bermula dari semalam sehingga esok.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, lawatan tersebut juga bersempena Ulang Tahun Ke-40 Dasar Pandang Ke Timur (DPT) serta 65 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Jepun.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut akan menerima kunjungan hormat beliau dan meraikannya dalam satu majlis makan malam rasmi hari ini,” kata Wisma Putra.

Abe, 67, merupakan Perdana Menteri Jepun dari 2006 hingga 2007 dan 2012 hingga 2020 iaitu empat penggal sekali gus penyandang jawatan terlama dalam sejarah negara tersebut.

Bekas Presiden Parti Liberal Demokratik itu amat dikenali kerana kejayaan dalam strategi dasar ekonomi baharu Jepun dilancarkan pada 2013 lalu sehingga dirujuk sebagai Abenomic.

Digelar perdana menteri paling muda Jepun pasca-Perang Dunia Kedua, graduan Universiti Southern California, Amerika Syarikat ini pernah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kabinet.

Mengulas lawatan itu, Wisma Putra menambah, Abe dijadualkan menerima penganugerahan ijazah Doktor Kehormat Politik Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Ia bersempena Majlis Konvokesyen Ke-36 di kampusnya di Gombak, Selangor pada esok yang turut diserikan dengan keberangkatan Seri Paduka Baginda sendiri,” jelas kenyataan itu.

Lawatan khas Abe tersebut ujarnya, mencerminkan keakraban dan kerjasama erat dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Jepun terutamanya tempoh empat dekad pelaksanaan DPT.

Polisi itu diumumkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika Persidangan Bersama Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun Kelima di Kuala Lumpur pada 8 Februari 1982.

Dasar tersebut mencetuskan banyak faedah dalam aspek pembangunan modal insan serta nilai tambah kepada perdagangan dan pelaburan untuk kepentingan kedua-dua negara Asia itu.

Sepanjang tahun lepas, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dengan merekodkan perdagangan dua hala bernilai RM149 bilion di sebalik cabaran wabak Covid-19.

“Sehingga Disember tahun lalu, Jepun juga merupakan pelabur terbesar berdasarkan jumlah projek dilaksanakan dalam sektor pembuatan dengan nilai RM90.9 bilion,” kata Wisma Putra.

Untuk rekod, Abe pernah melakukan lawatan rasminya ke Malaysia buat kali pertama pada 2007 lalu dengan bertemu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.

Beliau sekali lagi datang ke negara ini pada 2015 bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan bertemu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur. –UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya