Anak pendorong hasilkan produk kosmetik berasas semula jadi

Anak pendorong hasilkan produk kosmetik berasas semula jadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lebih sedekad lalu, pilihan produk penjagaan diri berasaskan bahan semula jadi masih belum begitu meluas di pasaran tempatan.

Keadaan itu menyukarkan Siti Nur Rahmah Muhab Shah, 38, untuk mendapatkan produk yang benar-benar memenuhi keperluan dirinya dan keluarga.

Lantas, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Siikat Natural Headspa ini mengambil inisiatif untuk menghasilkan sendiri losen dan gincu di rumah secara kecil-kecilan.

Katanya, pendedahan berpanjangan terhadap bahan kimia tertentu boleh menjejaskan kesihatan, termasuk perkembangan bayi.

“Anak sulung saya mengalami kecacatan telinga sejak lahir dan pengalaman itu sedikit sebanyak membuka mata saya untuk lebih berwaspada dalam pemilihan produk demi kesejahteraan keluarga.

“Saya mula menghasilkan gincu untuk kegunaan sendiri menggunakan bahan seperti mentega koko, minyak argan dan pewarna semula jadi,” katanya baru-baru ini.

Langkah diambil ibu kepada tiga anak berusia tiga hingga 13 tahun ini tepat, apatah lagi dia memiliki kulit sensitif dan mudah mengalami alahan terhadap kosmetik komersial.

Daripada situ, Siti Nur Rahmah terus mengorak langkah dengan menghasilkan minyak rambut diikuti masker dan syampu.

Produk yang pada awalnya untuk kegunaan sendiri itu kini mula dipasarkan di bawah jenama keluarannya, Siikat.

Katanya, minyak rambut itu diformulasikan daripada ekstrak bunga raya dan habbatus sauda, selain gabungan minyak pati seperti cedarwood, rosemary, lavender dan geranium.

Ia membantu merangsang pertumbuhan rambut, mengurangkan masalah keguguran, uban dan menyihatkan kulit kepala.

“Idea menghasilkan produk ini tercetus selepas kelahiran anak ketiga apabila saya mengalami masalah keguguran rambut yang agak teruk.

“Saya mula bereksperimen menghasilkan formula sendiri dan hasilnya amat memberangsangkan sehingga menarik minat kawan-kawan untuk membelinya,” katanya.

Buka spa rambut

Amalan kesejahteraan Siti Nur Rahmah dikembangkan lagi dengan pembukaan pusat penjagaan rambut dan kulit kepala berasaskan bahan semula jadi khusus untuk wanita.

Spa itu dibangunkan daripada pengalaman peribadinya yang sukar mencari pusat seumpamanya di Lembah Klang.
Mula beroperasi sejak Ogos 2024, Siikat Natural Headspa kini mempunyai lima cawangan di Bangi, Semenyih, Setia Alam, Kajang dan yang terbaharu di Sri Hartamas.

“Saya suka memanjakan diri di spa, tetapi adakalanya keselesaan dan ketenangan itu terganggu akibat bau bahan kimia yang kuat pada produk rambut hingga menyebabkan migrain.

“Alangkah indahnya jika ada spa yang dipenuhi haruman aromaterapi, berkonsepkan premium dan dalam masa sama menggunakan produk semula jadi.

“Spa sebegitu bukan sahaja menjadi idaman saya, malah semua wanita, jadi, kenapa tidak saya membukanya?” kata bekas kakitangan syarikat minyak dan gas ini.

Spa ini menampilkan keunikan tersendiri menerusi sentuhan Malaysia yang menggabungkan terapi perubatan Tradisional Cina (TCM), rawatan limfatik dan urutan Melayu.

Malah, semua produk berasaskan bahan semula jadi itu turut diuji di makmal.

“Wanita kini sering berdepan pelbagai tekanan yang menyumbang kepada masalah rambut seperti keguguran, kelemumur dan kulit kepala sensitif.

“Kerana itu, saya mahu menawarkan lebih daripada rawatan biasa menerusi signatur ratu dan jeda headspa bagi memulihkan keyakinan, ketenangan dan kekuatan dalaman kaum hawa,” katanya.

Selain terapi kulit kepala, turut disediakan ialah rawatan wajah dan kuku, urutan badan, sauna serta jakuzi dengan harga bermula daripada RM50 hingga RM300.

Teroka pasaran Indonesia, Asia Barat

Sebagai perancangan masa depan, Siti Nur Rahmah berhasrat melebarkan sayap perniagaan spa itu ke Indonesia dan Asia Barat.

Dalam masa sama, satu lagi cawangan bakal beroperasi di Rimbayu Sanctuary Mall, Telok Panglima Garang pada September ini.

Serentak itu, dia turut memperkenalkan jenama baharu, Siiora, iaitu spa khusus untuk lelaki.

Spa berkonsepkan studio pemulihan dan kesejahteraan itu bukan sahaja memfokuskan kepada penjagaan rambut dan kulit kepala, malah turut merangkumi tatarias sertapenampilan diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN