MELAKA: Sesi jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini panas apabila isu penukaran nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.
Ketika mengajukan soalan tambahan, Leng Chau Yen (PH-Bandar Hilir) mempersoalkan keputusan kerajaan negeri itu dengan alasan ia seolah-olah mengubah sejarah dan boleh mendatangkan kekeliruan kepada pelancong.
Bangkit menjawab soalan, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis menegaskan, penukaran nama tersebut adalah untuk mengembalikan semula nama asal bukit berkenaan dan tindakan itu dilihat mampu menjadi produk baharu pelancongan negeri.
Jelasnya, Bukit Melaka merupakan nama asal lokasi itu ketika pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka sebelum kedatangan penjajah.
“Kerana bukit itu asalnya Bukit Melaka. Tapi kita tak tukarlah pula Gereja St. Paul itu jadi Gereja Melaka. Tidak, kita menghargai kesan sejarah.
“Jadi orang nak senang dahulu, dia sebut Bukit St. Paul. Yang sebenarnya Gereja St. Paul, bukit itu Bukit Melaka. Jadi kita memperbetulkan fakta.
“Setakat ini hari pembetulan ini belum lagi menimbulkan apa-apa kekeliruan kerana Gereja St. Paul tetap Gereja St. Paul. Tapi kita kena hargai sejarah, ini sejarah kita, ini warisan negara, warisan bangsa kita. Kalau kita perlu kembalikan, kita kembalikan,” katanya di Seri Negeri di sini hari ini.
Terdahulu, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Mohd. Nasruddin Rahman dilaporkan berkata, Bukit St. Paul kini dikenali dengan nama asalnya Bukit Melaka.
Katanya, Perzim sudah memasang papan tanda pengenalan atau papan arah yang menamakan lokasi tersebut sebagai Bukit Melaka.
Menurutnya, ia bagi mengelak kekeliruan yang timbul khususnya dalam kalangan pelancong. – UTUSAN










