BESUT: Kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan 56 peserta Program Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di bawah Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di Gong Dasar di sini terdiri daripada golongan belia.
Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara), Fatimah Hamid berkata, perkembangan itu amat membanggakan sekali gus membuktikan masih ada generasi muda yang berminat untuk berbakti kepada tanah.
Katanya, walaupun tiada pengalaman, namun kesemua 16 pesawah muda berusia antara 28 hingga 40 tahun itu menunjukkan komitmen tinggi dalam projek perintis di kawasan seluas 92 hektar berkenaan.
“Peserta termuda kita berusia 28 tahun dan sepanjang 80 hari program ini berjalan, saya berpuas hati dengan sikap pesawah.
“Smart SBB meningkatkan mutu padi, pendapatan pesawah juga dijangka akan bertambah dengan amalan pertanian lestari dan berteknologi tinggi,” katanya ketika ditemui di Gong Dasar baru-baru ini.
Pegawai Perhubungan Perladangan Bernas Kelantan dan Terengganu, Mohd. Rusli Awang berkata, pihaknya merancang meluaskan lagi program Smart SBB ke lebih 1,000 hektar kawasan di pantai Timur .
Menurutnya, program Smart SBB BERNAS menitikberatkan penggunaan jentera moden seperti dron dan jentera padi di samping penyediaan jadual kerja ladang yang sistematik dan pelbagai amalan pertanian baik yang lain.
“Smart SBB Gong Dasar merangkumi empat blok ladang padi dan kerja menuai dijangka dapat dilakukan pada 20 April ini dan selesai pada 20 Mei,” katanya.
Penyelia Smart SBB Gong Dasar, Yusoff Abdul Kadir berkata, hampir 95 peratus masalah penyakit yang menyerang tanaman dapat dikawal menerusi pendekatan Smart SBB. – UTUSAN










