Warisan juga mahu letak calon di Pekan Nanas  - Utusan Malaysia

Warisan juga mahu letak calon di Pekan Nanas 

Presiden Warisan, MOHD. Shafie Apdal berbual dengan Radinam Mohyi, isteri kepada pesakit kencing manis, Maulani Ahmad di Kampung Parit Pasir, Pekan Nanas di Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Pertembungan empat penjuru dijangka berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas apabila Parti Warisan Sabah (Warisan) mengesahkan akan meletak calon di situ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, calon dalam kalangan anak tempatan telah dikenal pasti dan hanya menunggu pengumuman rasmi dalam tempoh terdekat.

Katanya, beliau kini dalam rangka lawatan ke beberapa kawasan di Johor bagi mengenal pasti kerusi DUN yang sesuai ditandingi oleh Warisan yang pertama kali bertanding di luar Sabah.

Menurut beliau, calon-calon yang akan bertanding telah disenarai pendek yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti peguam, jurutera selain mereka yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Insya-Allah kita akan letak calon di DUN Pekan Nanas yang merupakan individu dikenali oleh masyarakat tempatan ,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada pesakit terlantar di Kampung Parit Pasir, Pekan Nanas, semalam.

Turut sama, Pengerusi Warisan Negeri Johor, Suhaimi Salleh yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup.

Sebelum ini, Mohd. Shafie ketika membuat lawatan ke Pasir Gudang turut mengumumkan Warisan akan bertanding di DUN Permas yang kini disandang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pengumuman yang dibuat oleh Presiden Warisan itu menjadikan kerusi DUN Pekan Nanas menarik kerana akan menyaksikan pertembungan tiga calon bukan Melayu menentang seorang calon Melayu.

BN dijangka meletakkan wakil MCA sebagai calon, begitu juga PN akan meletakkan wakil daripada Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) dan DAP mungkin mengekalkan penyandang kerusi sekarang, Yeo Tung Siong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN