Warisan intai lima kerusi DUN?

Warisan intai lima kerusi DUN?

PRN JOhor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHADIRAN Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mahu mencuba nasib di Semenanjung dengan penyertaan pertama kali pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menarik perhatian ramai memandangkan parti itu diketahui lebih dikenali di Sabah.

Namun, dengan alasan mahu menawarkan pilihan kepada rakyat terutama penduduk Johor yang turut didiami masyarakat Borneo, Warisan pastinya sudah ada strategi dan bacaan politik tersendiri sehingga mereka berani membuat keputusan tersebut.

Kemunculan Warisan di Johor sebenarnya sudah dirasai sejak sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan lagi apabila Naib Presidennya, Datuk Junz Wong berkunjung ke negeri itu pada 13 Januari lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru di Sabah itu turut menya­rankan masyarakat Borneo yang menetap di semenanjung me­nukar alamat tempat pengundian mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ini kerana, dianggarkan kira-kira 250,000 masyarakat Borneo yang majoriti berada di Johor selain Selangor dan Pulau Pinang masih mengekalkan alamat tempat mengundi mereka mengikut kampung masing-masing.

Kemudian, tanda-tanda yang ‘semakin dekat’ bahawa mereka mahu bertanding pada PRN Johor terus dirasai apabila berlaku penyertaan 300 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai ke Wari­san pada 7 Februari lalu.

Persoalan itu akhirnya ter­lerai setelah Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika melancarkan Warisan Johor, kelmarin mengesahkan mereka akan meletak calon dalam pilihan raya berkenaan pada 12 Mac ini.

Bagaimanapun, semasa bekas Naib Presiden UMNO itu memaklumkan Warisan mungkin akan bertanding solo telah menimbulkan sedikit keraguan sama ada mereka mampu menarik sokongan rakyat Johor atau tidak dalam tempoh kurang sebulan menjelang PRN.

Semua mengetahui Johor adalah kubu kuat UMNO-Barisan Nasional (BN), malah, Bersatu-Perikatan Nasional (PN) juga mempunyai rekod kemenangan di negeri itu. Tidak terkecuali Pakatan Harapan (PH) ada pengikutnya di negeri paling selatan di semenanjung ini.

Bahkan, penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ke dalam khemah PH nampak lebih ‘berstrategi’ kerana sekurang-kurangnya pengundi putih gabungan pembangkang itu akan memberi undi kepada calon Muda yang bertanding.

Jadi, bagaimana Warisan ma­hu menarik sokongan. Tetapi, sudah tentu mereka juga sudah lama merancang dan memper­siapkan diri agar sekurang-ku­rangnya tidak kehilangan wang deposit.

Kini, tumpuan kepada Wari­san lebih terarah kepada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mana yang mereka mahu cuba nasib. Namun, berdasarkan maklumat diperolehi Wari­san tidak akan bertanding di kesemua 56 kerusi, tetapi tidak kurang lima kawasan sudah dikenal pasti parti itu.

Selain DUN Permas dalam Parlimen Pasir Gudang yang disahkan Mohd. Shafie sebagai salah satu kerusi yang akan ditandingi. Kerusi Johor Jaya dalam kawasan itu juga mungkin dalam radar Warisan.

Apatah lagi Pasir Gudang menjadi kawasan penempatan teramai masyarakat Borneo di negeri ini sehingga terdapat sebuah pusat jualan yang dinamakan Pasar Muafakat Sabah dibina di Bandar Seri Alam, Masai.

Selain itu, tidak mustahil kerusi DUN Bekok di kawasan utara Johor juga akan ditandingi Wari­san. Mohd. Shafie juga dikhabarkan akan melancarkan bilik gerakan parti itu di DUN berkenan yang terletak dalam Parlimen Labis di Segamat.

Kerusi DUN Pekan Nanas di Parlimen Tanjung Piai juga sudah pasti tidak terlepas dalam perhatian Warisan memandang­kan Pengerusi Warisan Johor yang baru dilantik, Suhaimi Salleh merupakan bekas ADUN Kukup yang berada dalam parlimen sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN