Walaupun Muda baru ditubuhkan tetapi setanding parti lain - Utusan Malaysia

Walaupun Muda baru ditubuhkan tetapi setanding parti lain

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman bersama calon Muda, Amira Aisya Abd. Aziz yang akan bertanding di kerusi DUN Puteri Wangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Walaupun Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) adalah parti yang baharu ditubuhkan, pengalaman berkhidmat untuk masyarakat sudah setanding parti politik lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agungnya, Amira Aisya Abd Aziz berkata, kekuatan parti itu tidak boleh diukur dari segi keahlian, tetapi gerak kerja dan program melibatkan masyarakat yang menunjukkannya aktif sebelum diluluskan lagi pada 2021.

“Muda memang sebuah parti yang baharu. Lulus pun pada penghujung 2021 kerana kerajaan halang penubuhan Muda. Tetapi pimpinan dan ahli Muda sudah ada pengalaman besar dalam berkhidmat untuk komuniti dan rakyat.

“Kekuatan Muda tidak boleh hanya diukur dengan jumlah ahli dan mahu membandingkannya dengan parti yang sudah wujud sejak merdeka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengambil contoh pengalaman Amira yang diangkat sebagai calon DUN Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau mempunyai pengalaman melahirkan ribuan pemimpin Muda melalui Johor Students Leaders Council.

“Misi Banjir Nasional, bantuan khas kepada mahasiswa terkandas, kempen Bendera Putih dan banyak lagi inisiatif Muda telah sampai ke tangan ribuan keluarga Malaysia.

“Muda tidak ada banyak wang atau jentera yang besar. Pejabat Muda pun kecil tetapi lihat dan hakimi Muda melalui aksi dan gerak kerja,” katanya lagi.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Muda adalah parti baharu dan keahliannya sedikit sahaja berbanding parti politik lain.

“Muda terlalu muda. Presidennya, Syed Saddiq Abdul Rahman itu macam anak saya. Dulu dia dalam Armada Bersatu. Tetapi tak apa itu hak dia, dalam sistem demokrasi, dia nak bentuk Muda ke tua, itu hak dia.

“Tetapi yang pasti Muda tiada ahli yang ramai, sedikit sahaja. Cawangan dan bahagian pun tak tahu dekat mana,” ujar Muhyiddin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×