Subsidi haji perlu adil

Subsidi haji perlu adil

Mohd. Yusof Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) perlu berlaku adil memilih golo­ngan yang layak menerima subsidi mengerjakan haji supaya tujuan utama ia diperkenalkan benar-benar membantu golo­ngan kurang mampu menunaikan ibadah itu.

Namun, pada masa yang sama, golongan M40 tidak harus dipinggirkan kerana dalam kalangan mereka ada yang mempunyai tanggungan ramai dan berkemungkinan tidak dapat mengerjakan ibadah haji tanpa subsidi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, Tabung Haji sepatutnya mengenal pasti golo­ngan sasar yang perlu dibantu.

“Kerajaan bagi macam-macam subsidi, kalau tidak bersasar ia akan merugikan. Maka dalam hal ini, Tabung Haji sepatutnya kelaskan golo­ngan sasar yang perlu dibantu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, Tabung Haji boleh menjimatkan kos subsidi haji sehingga lebih RM350 juta setahun sekiranya mengambil langkah memperkenal mekanisme subsidi haji secara bersasar.

Dengan penjimatan sebesar itu, Tabung Haji boleh memberikan pulangan sama ada dalam bentuk dividen atau hibah yang lebih tinggi kepada para pendepositnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusof berkata, jika melihat kepada kemampuan menunaikan haji, semua berkemampuan namun, ia perlu diberikan ukuran.

Dalam pada itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, Tabung Haji perlu memikirkan kaedah terbaik sekiranya ingin me­lakukan subsidi bersasar.

Abdul Rahman Osman

“Sebenarnya dari segi hukum, sememangnya semua yang pergi haji itu berkemam­puan untuk menunaikan ibadah tersebut. Maknanya terbuka tanpa perbezaan apa-apa.

“Untuk subsidi haji ini jika diikutkan bersasar sahaja tidak boleh, tetapi terpulang kepada pentadbir, contohnya laksanakan kuota atau buat pemilihan secara adil,” katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, golongan M40 tidak harus dipinggirkan daripada menerima subsidi.

Katanya, ramai daripada golongan itu mempunyai tanggungan ramai dan berkemungkinan tidak dapat mengerjakan ibadah haji tanpa subsidi.

“Ada golongan M40 anak empat lima orang, macam mana mereka nak pergi haji? Sebab itu, M40 pun tidak boleh dipinggirkan. Sama juga dengan T20. Jadi, pemberian subsidi ini sebenar­nya perlu seimbang,” katanya.

Katanya, jika subsidi bersasar dilaksanakan, penjimatan kos RM350 juta seharusnya digunakan untuk pelaburan terhadap keselesaan jemaah haji. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×