Sindiket lumba haram tawar wang, wanita sebagai hadiah - Utusan Malaysia

Sindiket lumba haram tawar wang, wanita sebagai hadiah

ANTARA individu yang ditahan termasuk deretan kereta di bahagian belakang dalam Operasi Samseng Jalanan membabitkan kegiatan lumba haram di IPK Johor di Johor Bahru. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Satu sindiket yang mengatur lumba haram dipercayai menawarkan wang dan wanita sebagai hadiah kemenangan berjaya ditumpaskan dalam operasi khas pihak polis di Plaza Tol Skudai, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, berdasarkan pemerhatian dan intipan selama sebulan, aktiviti terbabit kerap dijalankan pada hujung minggu bermula pada pukul 1 pagi hingga 4 pagi.

Katanya, mereka menjadikan laluan lurus sepanjang 500 meter selepas plaza tol berkenaan yang menghala ke arah selatan sebagai litar lumba bagi perlumbaan jenis ‘drag’.

“Tindakan mereka menggunakan kenderaan yang telah diubahsuai untuk memecut laju itu mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada pemandu tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas Operasi Samseng Jalanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, siasatan lanjut mengenai habuan yang ditawarkan itu masih dilakukan termasuk jumlah hadiah kepada pemenang. 

“Semasa serbuan dibuat, sebanyak enam buah kenderaan sedang berlumba dengan yang lain sama ada sedang menunggu giliran ataupun hanya menjadi penonton.

“Saya menyeru orang ramai khususnya anak-anak muda agar tidak terlibat dengan aktiviti perlumbaan haram atau sekadar menjadi penonton kerana itu juga satu kesalahan,” ujarnya.

Terdahulu, dalam serbuan yang dijalankan bermula pukul 2 pagi itu, seramai 126 orang ditahan termasuk tiga daripada mereka positif dadah.

Katanya, dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu, sebanyak 66 buah kenderaan disita kerana pelbagai kesalahan.

Sementara itu, Pegawai Turus Jabatan Siasatan dan Pengangkutan Trafik (JSPT) Johor, Asisten Superintenden Mohd. Zainuddin Abu Bakar berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 107 lelaki dan 19 wanita berusia antara 19 hingga 45 tahun.

“Seramai enam orang yang berusia antara 22 hingga 25 tahun telah ditahan melibatkan lima kes di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan satu kes di bawah Seksyen 81 akta sama. Sejumlah 55 keping saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.