PRN Johor: Suhaizan cuba nasib kali ke-6

PRN Johor: Suhaizan cuba nasib kali ke-6

SUHAIZAN KAIAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat akan mencuba buat kali keenam untuk bergelar ‘Yang Berhormat’ apabila bertanding di kerusi Pulai Sebatang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Suhaizan, 49, berkata, beliau bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bertanding di Pulai Sebatang menggantikan Muhammad Taqiuddin Cheman yang bertanding di Mahkota.

Katanya, beliau bersedia memikul tanggungjawab bagi mempertahankan kerusi DUN Pulai Sebatang yang dimena­ngi Taqiuddin dengan majoriti 3,395 undi menewaskan pe­nyandangnya, Datuk Tee Siew Kiong.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, kehadiran beliau ke kerusi itu diterima dengan baik oleh kepemimpinan Amanah Kawasan Pontian yang dipimpin Ketuanya, Raden Sarobo Ponoh.

“Saya tidak memikirkan soal lawan tetapi gembira kerana jentera pilihan raya Amanah menerima dengan baik bagi memudahkan saya melakukan gerak kerja dengan adanya sokongan daripada mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Suhaizan sebelum ini pernah bertanding pada PRU 2004 di DUN Parit Sulong, diikuti DUN Kempas pada tahun 2008 dan 2013, Parlimen Simpang Renggam pada tahun 2013 ketika bersama Pas dan terakhir di DUN Kukup pada tahun 2018 di bawah tiket Amanah.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor antara empat pemimpin utama yang akan bertanding pada PRN Johor termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub (Simpang Jeram); Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan (Parit Yaani) dan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad di Kota Iskandar.

AKAR UMBI

Tambah Suhaizan, beliau menyifatkan penerimaan akar umbi kepada Amanah khususnya di Pulai Sebatang semakin bertambah baik melalui usaha yang dilakukan oleh Muhammad Taqiuddin walaupun ada beberapa perkara yang belum selesai.

“Sebagai contoh isu kawasan pembuangan sampah di Parit Sikom yang memerlukan pengurusan yang lebih baik dengan bantuan daripada Majlis Perbandaran Pontian (MPPn),” ujarnya.

Ditanya mengenai peluang Amanah untuk mempertahankan kerusi tersebut pada PRN Johor kali ini, beliau akan berusaha sedaya upaya walaupun dijangka melibatkan pertandingan tiga penjuru atau lebih.

Katanya, memandangkan pola pengundi di DUN Pulai Sebatang banyak terletak di kawasan bandar berbanding di Kukup melibatkan kawasan luar bandar, persaingan dilihat lebih terbuka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN