PRN Johor: Muda-PH perlukan satu sama lain - Utusan Malaysia

PRN Johor: Muda-PH perlukan satu sama lain

JENIRI AMIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Pakatan Harapan (PH) sangat memerlukan satu sama lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, Muda memerlukan pengalaman yang ada pada PH untuk menghadapi pilihan raya buat pertama kali dalam sejarah manakala PH memerlukan Muda sebagai satu nafas baharu kepada blok pembangkang dalam memancing golongan Undi18.

Katanya, kerjasama kedua-dua pihak ini penting terutama selepas PH tewas di PRN Sabah, Melaka dan Sarawak.

“Kerjasama antara Muda dan PH menyelaraskan lagi kempen dan jentera pilihan raya kerana Muda belum ada pengalaman tetapi Undi18 adalah kelebihannya. Rakyat masih belum ada keyakinan terhadap PH kerana mereka sering dikaitkan dengan pentadbiran 22 bulan dan konflik dalaman, jadi PH perlukan Muda melalui Undi18.

“Namun, idealisme orang muda sahaja tidak cukup, sebab itu jika kerjasama ini menimbulkan perkembangan positif, maka kerjasama tersebut wajar diteruskan sehingga ke Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Jadi, mereka perlukan satu sama lain dan saling memerlukan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, PH perlu memastikan tidak berlaku persengketaan antara Muda dan sayap pemuda-pemuda PH seperti Angkatan Muda Keadilan (AMK) dari PKR, Pemuda Sosialis (DAPSY) dari DAP dan Pemuda Amanah Nasional dari Amanah.

“Muda dan PH perlu berhati-hati kerana kemungkinan ada perebutan tempat antara Muda dan sayap pemuda parti dalam PH, supaya mereka tidak bertembung sehingga tiga ke empat parti dalam satu-satu kerusi yang dipertandingkan,” katanya.

Dalam pada itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berkata, kerjasama yang terjalin dengan Muda menunjukkan PH sedang berusaha meraih undi golongan muda dan menyifatkan Muda tidak boleh bergerak secara solo.

“Muda dan PH berusaha memancing undi orang muda tetapi berlandaskan orang muda sahaja bukan jaminan boleh menang kerusi yang ditandingi, kerana pengundi berusia 40 ke 50 tahun ke atas tidak akan jamin sokong orang muda. Kalau kepentingan tidak diletakkan kepada 40 tahun ke atas, maka kerjasama ini tidak akan ke mana.

“Muda pun perlukan jentera dan sumber kewangan, mereka juga belum dapat tampilkan pemimpin lain. Tidak boleh bergantung kepada Syed Saddiq (Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) sahaja, tidak semua orang sokong dia. Jadi, Muda dan PH perlukan satu sama lain dan berganding bahu. Mereka perlu kerjasama dan jangan fikir nak gerak sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN