PUTRAJAYA: Ribuan penduduk yang berada di sekitar kawasan kejiranan Presint 7 di sini tidak perlu berasa risau apabila terdengar siren amaran dibunyikan pada hari ini dan esok.
Menurut Perbadanan Putrajaya (PPj) menerusi hantaran dalam akaun sosial rasminya, hal ini kerana latihan pengujian siren akan dilaksanakan oleh Putrajaya Command Centre (PCC).
“Sebelum siren tersebut dibunyikan, pihak PCC akan membuat pengumuman awal melalui pembesar suara di sekitar kawasan bagi memaklumkan tujuan pengujian itu,” katanya lagi.
Ia menambah bahawa tempoh latihan itu ditetapkan turut tidak terlalu lama kerana waktu sistem berkenaan diuji cuma dari pukul 10 pagi hingga 11 pagi dan 4 petang hingga 5 petang.
Lokasi pengujian siren di pesisiran tasik tersebut yang terletak bersebelahan dengan Cyberjaya, Selangor juga agak jauh dari kawasan berpenduduk, namun, masih boleh didengari dengan jelas.
PCC yang dibangunkan PPj sejak 2004, beroperasi 24 jam sebagai salah satu inisiatif pelan kerangka Bandar Pintar Putrajaya yang disusun oleh pihak kerajaan dari 2018 hingga 2025.
Pusat itu berfungsi untuk tugas pemantauan keselamatan dan segala aktiviti perbandaran harian melalui pemerhatian secara berpusat dengan tahap penggunaan teknologi yang terkini.
Ini termasuk menerusi 462 unit kamera litar tertutup yang mampu menjejak pencerobohan ke zon larangan atau kawasan sensitif, objek curiga ditinggalkan serta perhimpunan orang ramai.
Kamera pintar itu turut boleh berpusing 360 darjah untuk melihat aliran trafik kenderaan, insiden pandu lawan arah, cubaan parkir di tempat yang dilarang dan kes kemalangan jalan raya.
Sejumlah 89 tiang butang panik juga dipasang dengan siren berwarna merah akan menyala dan berbunyi kuat apabila ditekan selain ada kamera definisi tinggi merakam wajah pengadu.
PCC turut berkongsi data bersama dengan pelbagai agensi awam domestik antaranya polis, bomba, Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. –UTUSAN ONLINE