PRN Johor: Mengapa tidak PH yang beri laluan - Utusan Malaysia

PRN Johor: Mengapa tidak PH yang beri laluan

ABDULLAH HUSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Saranan Pakatan Harapan (PH) agar Perikatan Nasional (PN) di negeri ini mengambil tindakan berkecuali pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi adalah idea yang tidak wajar dilontarkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Pengerusi PN Johor, Abdullah Husin berkata, PH sepatutnya menghormati konsep demokrasi yang memberi peluang kepada semua pihak atau parti politik menyertai mana-mana pilihan raya yang diadakan.

“Tidak wajar berkata begitu. PN termasuklah Pas tak mahu kata, tetapi kalau kita nak kata PH lah jangan masuk bertanding, beri laluan kepada PN untuk bertembung satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).

“Tetapi masing-masing ada kekuatan dan sepatutnya mereka menghormati antara satu sama lain selaras konsep demokrasi yang kita amalkan sejak dahulu lagi,” kata Pesuruhjaya Pas negeri itu mengulas cadangan PH Johor yang mahu pertandingan satu lawan satu dengan BN.

Isnin lalu, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, saranan itu wajar selepas mengambil kira keputusan PRN Melaka yang menyaksikan pertandingan lebih dua penjuru telah mengakibatkan PH dan PN kalah kepada BN.

Sementara itu, seorang lagi Naib Pengerusi PN Johor, Senator Md. Nasir Hashim yang juga Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor mencadangkan agar PN dan PH berkompromi dalam soal meletakkan calon masing-masing kelak.

“Lebih elok bagi saya kalau ada kesefahaman, bukan fikir dia yang masuk (bertanding) kita perlu beri laluan. Tak boleh tindakan begitu.

“Sebaliknya kalau mana-mana kerusi PN bertanding, PH tak perlu meletakkan calon mereka lagi dan begitu sebaliknya,” kata beliau.

Ditanya adakah konsep satu lawan satu dalam PRN Johor berkesan, Nasir berkata, semua parti politik masih tidak dapat membaca rentak pengundi muda termasuk lebih 700,000 pengundi baharu dalam kalangan golongan itu.

“Jadi, masing-masing perlu ada strategi tersendiri untuk berlawan dalam PRN Johor kelak dan bukannya meminta pihak lain memberi laluan agar mereka mudah untuk masuk bertanding,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN